Trump arah wakilnya tidak meneruskan perjalanan ke Islamabad

Foto REUTERS 

WASHINGTON, 26 April – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengarahkan wakilnya agar tidak berkunjung ke Pakistan untuk meneruskan rundingan dengan Iran bagi menamatkan perang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump berkata pembatalan perjalanan Kushner dan Witkoff tidak bermakna AS akan menyambung semula konflik dengan Iran.
  • Beliau umumkan melalui panggilan dengan wartawan dan hantaran di media sosial selepas Menteri Luar Iran berlepas dari Islamabad.
  • Media Iran laporkan Tehran tiada rancangan rundingan bersemuka; Pakistan akan bertindak sebagai perantara menyampaikan cadangan Iran.

Trump membuat pengumuman itu menerusi panggilan telefon berasingan dengan wartawan, dan kemudian dalam satu hantaran di media sosial, sejurus selepas Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berlepas dari Islamabad.

Beliau memberitahu portal berita digital Axios bahawa pembatalan perjalanan penasihat utama yang juga menantunya Jared Kushner dan utusan khas Steve Witkoff tidak bermakna AS akan menyambung semula konflik dengan Iran yang bermula pada 28 Februari lalu.

“Saya baru sahaja membatalkan perjalanan wakil AS ke Islamabad untuk bertemu pihak Iran,” jelasnya di platform Truth Social.

Bagaimanapun, Trump tidak berhasrat menutup pintu rundingan lanjut dengan Tehran.

Witkoff dan Kushner dijadual berlepas ke Islamabad pada Sabtu bagi pusingan kedua rundingan damai dengan Iran.

Media Iran melaporkan bahawa wakil Tehran ketika ini tidak mempunyai rancangan untuk mengadakan rundingan bersemuka dengan pihak AS, dan Pakistan akan bertindak sebagai perantara untuk menyampaikan cadangan Iran. – AFP