AS benarkan Venezuela bayar yuran peguam bela bekas presiden

Foto REUTERS

WASHINGTON, 26 April – Amerika Syarikat (AS) bersetuju untuk mengubah sekatannya terhadap Venezuela bagi membolehkan kerajaan negara Amerika Selatan itu membayar yuran peguam bela bekas presidennya, Nicolás Maduro.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sekatan lama pernah mengancam menggagalkan kes pengedaran dadah terhadap Maduro, menurut dokumen mahkamah.
  • Maduro dan isterinya ditahan 3 Januari, dibawa ke New York dan kini ditahan di Brooklyn menunggu perbicaraan.
  • Peguam Barry Pollack memohon agar kes digugurkan kerana sekatan menghalang pembayaran yuran guaman, mencabar hak perlembagaan mendapatkan peguam pilihan.
  • Hakim Alvin Hellerstein enggan menggugurkan kes, meragui wajar kerajaan menghalang pembayaran dan menyatakan AS melonggarkan sekatan.

Langkah berkenaan sekali gus menarik balik sekatan yang sebelum ini mengancam untuk menggagalkan kes pengedaran dadah terhadapnya, menurut satu dokumen mahkamah.

Maduro, 63 tahun dan isterinya Cilia Flores, 69 tahun ditahan dari kediaman mereka di Caracas oleh pasukan khas AS pada 3 Januari dan dibawa ke New York untuk menghadapi pertuduhan jenayah termasuk konspirasi narkoterorisme.

Mereka mengaku tidak bersalah dan kini ditahan di Brooklyn sementara menunggu perbicaraan.

Peguam Maduro, Barry Pollack pada Februari lalu memohon kepada Hakim Mahkamah Daerah AS di Manhattan, Alvin Hellerstein agar kes itu digugurkan berikutan sekatan AS menghalang kerajaan Venezuela daripada membayar yuran guamannya.

Pollack berhujah bahawa larangan tersebut melanggar hak Maduro di bawah Perlembagaan AS untuk mendapatkan peguam pilihannya sendiri.

Menurut peguam bela pasangan berkenaan, Maduro dan Flores tidak mampu membayarnya sendiri manakala kerajaan Venezuela bersedia menanggung kos tersebut.

Dalam satu prosiding mahkamah pada 26 Mac lalu, Hellerstein memaklumkan tidak berhasrat untuk menggugurkan kes itu namun meragui sama ada kerajaan wajar menghalang pembayaran tersebut.

Beliau bagaimanapun menyatakan bahawa AS telah melonggarkan sekatan ke atas Venezuela sejak penyingkiran Maduro.

Manakala hubungan antara Caracas dan Washington juga bertambah baik semenjak Delcy Rodríguez mengambil alih kepimpinan secara interim.

Ketika penggal pertamanya pentadbirannya, Presiden Donald Trump meningkatkan sekatan terhadap Venezuela susulan dakwaan bahawa kerajaan Maduro korup dan menjejaskan institusi demokrasi.

Washington juga menyifatkan pemilihan semula beliau sebagai presiden pada 2018 sebagai tidak sah.

Bagaimanapun, Maduro menolak semua tuduhan tersebut termasuk dakwaan penglibatannya dalam pengedaran dadah dan menuduh AS menggunakan alasan berkenaan untuk menguasai rizab minyak negara itu. – AFP