Tanam 700 pokok ‘Sakura Malaysia’ seminit catat rekod MBOR

Foto FB MPKK

KULIM, 10 Mei Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menanam sebanyak 700 batang pokok Tabebuia Pentaphylla, atau Tekoma, dalam tempoh satu minit sekali gus mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR).

RINGKASAN BERITA AI
  • Program Jom Tanam Pokok "1 Warga MPKK 1 Pokok" di Hi-Tech Fasa 4A sempena Sambutan Jubli Perak MPKK.
  • 480 warga kerja MPKK dan rakan strategik terlibat, mencerminkan semangat kebersamaan dan tanggungjawab sosial terhadap alam sekitar.
  • Datuk Elmi Yusoff: inisiatif ini selaras aspirasi menjadikan Kulim kawasan rendah karbon, mesra alam dan berdaya huni.
  • Penanaman pokok berbunga dijangka mencantikkan landskap industri, meredupkan suhu, menapis karbon dan menyumbang kepada kesihatan awam serta biodiversiti.

Program Jom Tanam Pokok “1 Warga MPKK 1 Pokok” di kawasan Hi-Tech Fasa 4A dilakukan bersempena Sambutan Jubli Perak MPKK.

480 warga kerja MPKK dan rakan strategik terlibat sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan dalam memikul tanggungjawab sosial terhadap alam sekitar.

Yang Dipertuanya, Datuk Elmi Yusoff berkata program ini merupakan antara pengisian utama sambutan ulang tahun ke-25 MPKK selaras aspirasi menjadikan Kulim sebagai kawasan rendah karbon, mesra alam sekitar dan berdaya huni.

Beliau berkata pemilihan kawasan perindustrian Hi-Tech Fasa 4A agar pelabur global sedar bahawa Kulim adalah destinasi “Pelaburan Industri Berteknologi Tinggi”.

“Penanaman pokok teduhan berbunga ini membuktikan bahawa kita mahu mengubah landskap industri yang ‘kaku’ kepada satu ekosistem yang ‘bernafas’. Inilah yang kita panggil sebagai pembangunan yang mempunyai ‘jiwa’.

Apabila bunga tekoma atau ‘Sakura Malaysia’ ini berkembang mekar nanti, ia bukan sahaja mencantikkan pandangan, malah meredupkan suhu bumi dan menjadi penapis karbon semula jadi yang efektif buat kawasan perindustrian kita,” katanya.

Beliau berkata, selepas 25 tahun penubuhannya, MPKK bukan lagi sekadar pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menguruskan perbandaran dan infrastruktur, sebaliknya telah berevolusi menjadi ‘Peneraju Perbandaran Industri Berteknologi Tinggi dan Lestari’.

“Setiap pokok yang ditanam diharap menjadi sumbangan berpanjangan kepada kesihatan awam, biodiversiti dan kestabilan iklim di Kulim,” tambah beliau lagi.

Datuk Elmi turut menyeru seluruh warga kerja dan masyarakat Kulim untuk terus mengekalkan momentum kecemerlangan ini serta menjadikan kelestarian alam sebagai sebahagian daripada budaya pembangunan bandar.