Taman Kekal Pengeluaran Makanan akses mudah untuk golongan belia sertai pertanian

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 12 MacGolongan belia kini berpeluang lebih mudah menceburi bidang pertanian melalui projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang dibangunkan secara kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek TKPM menyediakan tanah, infrastruktur dan latihan kemahiran untuk belia memulakan usaha tani secara tersusun dan efektif.
  • Belia digalakkan memantau laman web dan media sosial Jabatan Pertanian negeri untuk pengumuman permohonan tanah.
  • Cadangan platform digital landbank memaparkan lokasi, pemilik, kadar sewa dan pajakan untuk memudahkan pencarian tanah dan kerjasama agensi.

Timbalan Menteri Datuk Chan Foong Hin, berkata projek TKPM bukan sahaja menyediakan tanah pertanian, malah turut melibatkan penyediaan infrastruktur dan kemahiran yang membolehkan belia memulakan usaha tani dengan lebih tersusun dan efektif.

“Setakat ini, terdapat 176 projek TKPM di seluruh negara termasuk di Johor dan Negeri Sembilan. Golongan belia boleh memohon tanah untuk aktiviti pertanian melalui projek ini,” katanya.

Golongan belia digalakkan untuk memantau laman web dan media sosial Jabatan Pertanian negeri masing-masing, kerana peluang permohonan tanah sering diumumkan di platform tersebut, katanya.

Selain itu, Datuk Chan turut mengulas cadangan untuk mewujudkan platform digital ‘landbank’ yang memaparkan maklumat tanah seperti lokasi, pemilik, kadar sewaan dan pajakan. Langkah ini dijangka memudahkan belia mengenal pasti tanah berpotensi untuk pertanian dan membuka ruang bagi kerjasama rentas kementerian serta agensi kerajaan.

Beliau menyeru agar golongan tersebut mengambil peluang ini, yang bukan sahaja menawarkan peluang pekerjaan, tetapi juga pembelajaran kemahiran dan pembangunan keusahawanan muda.

“Projek TKPM memberi ruang kepada generasi muda untuk menjadi petani berdaya saing dan menyumbang kepada pengeluaran makanan negara,” ujarnya.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Saraswathy Kandasami di Dewan Negara hari ini.