KUALA LUMPUR, 26 Oktober – Malaysia terus memperkukuh tadbir urus digital negara menerusi penekanan aspek keselamatan siber dan pembangunan bakat sejajar pelaksanaan visi menjadi sebuah Negara Kecerdasan Buatan (AI Nation) menjelang 2030.
- Perkukuhan tadbir urus digital negara melalui penekanan keselamatan siber sejajar visi AI Nation 2030.
- Pelancaran Platform My Mahir untuk menilai keperluan pasaran kerja dan mengenal pasti kemahiran masa hadapan.
- Kerjasama merentas kementerian dan industri, termasuk syarikat antarabangsa seperti Google, bagi latihan dan pembangunan bakat.
Ke arah itu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata Portal My Mahir dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA)
Platform berkenaan berperanan menilai keperluan pasaran kerja serta mengenal pasti kemahiran untuk masa hadapan
“Kami telah mewujudkan satu platform baharu yang dinamakan Platform My Mahir. Platform ini berfungsi untuk meneliti peluang pekerjaan yang ada, menilai jenis bakat yang diperlukan pada masa hadapan, serta bagaimana kita boleh membangunkan bakat tersebut sama ada melalui pendidikan atau latihan.
“Oleh itu, kami turut bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi, serta pelbagai syarikat.
“Google, sebagai contoh, telah bekerjasama dengan kami dan memberikan banyak latihan kepada pelbagai industri, dan perkara yang sama turut dilakukan oleh banyak syarikat lain yang melabur di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sesi dialog dengan pemain industri di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.