Tabung Haji perkenal simpanan sistematik

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Marhamah Rosli ketika sesi pertanyaan-pertanyaan dan jawab lisan pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini/ Foto BERNAMA

PARLIMEN, 29 Januari – Kerajaan melaksanakan langkah jangka pendek dan jangka panjang bagi mempermudah akses pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) menunaikan ibadah haji tanpa kebimbangan dari segi kewangan dan kesihatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • TH perkenal inisiatif simpanan sistematik jangka panjang untuk bantu pendeposit bersedia menunaikan haji.
  • Syarat simpanan minimum RM15,000 diperkenalkan untuk menapis calon dan mengurangkan penangguhan tawaran haji.
  • Program pendidikan dan kursus asas diperluas, dimulakan seawal dua tahun sebelum giliran haji untuk persediaan kewangan dan kesihatan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli, berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun, yang meminta kerajaan menyatakan usaha memastikan pendeposit tidak ketinggalan atau menolak tawaran haji seperti yang berlaku pada musim haji 1446H.

Menurut beliau, ibadah haji hanya menjadi wajib apabila syarat istita’ah dipenuhi, yang merangkumi kemampuan kewangan, tahap kesihatan, keselamatan perjalanan serta kelulusan kuota yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

Beliau menjelaskan data Tabung Haji menunjukkan punca utama penangguhan tawaran haji sebelum ini adalah simpanan tidak mencukupi, selain masalah kesihatan, komitmen peribadi dan keluarga, serta rekod simpanan yang tidak konsisten.

“Lebih 53 peratus daripada kira-kira sembilan juta pendeposit mempunyai simpanan kurang daripada RM1,300, sekali gus menunjukkan keperluan mendesak kepada perancangan simpanan yang lebih tersusun,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebagai langkah saringan dan persediaan kewangan, TH menetapkan syarat simpanan minimum RM15,000 bagi penerimaan tawaran haji, iaitu kadar bayaran terendah yang dilaksanakan sejak 2025.

Langkah itu berjaya menurunkan kadar penangguhan kepada 18 peratus tahun ini, berbanding 50 peratus pada musim haji lalu.

Bagi jangka panjang pula, beliau berkata TH akan melaksanakan inisiatif simpanan sistematik jangka panjang, selain memperkukuh pendidikan bakal jemaah haji.

Antara langkah yang dirancang termasuk memanggil bakal jemaah menghadiri kursus asas seawal dua tahun sebelum giliran haji, bagi membantu persediaan dari segi kewangan dan kesihatan secara lebih menyeluruh.