Kerajaan laksana projek rintis perkasa kemahiran bahasa kanak-kanak

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Hari Terbuka Putrajaya 2026 di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin hari ini/ Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 29 Januari – Satu projek rintis bakal dilaksanakan bagi memperkasa kemahiran bahasa dalam kalangan kanak-kanak di Putrajaya, selaras dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek rintis untuk memperkasa kemahiran bahasa kanak-kanak di Putrajaya akan dilaksanakan terlebih dahulu di lokasi terpilih.
  • Pelaksanaan kelas bahasa percuma secara terbuka dan santai dirancang untuk menyediakan ruang latihan berterusan hujung minggu.
  • Guru bersara mahir bahasa dipertimbangkan untuk menyumbang secara sukarela melalui sesi pengajaran fleksibel.
  • Program turut merancang kelas sukan percuma untuk menangani obesiti dan mempertimbangkan keperluan komuniti setempat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata inisiatif itu bertujuan menyediakan ruang pembelajaran bahasa yang lebih praktikal dan santai, khususnya melalui aktiviti yang dijalankan pada hujung minggu.

Menurut beliau, kementerian sedang merangka pelaksanaan kelas bahasa percuma yang boleh disertai secara terbuka bagi memberi peluang kanak-kanak belajar serta berlatih menggunakan bahasa dalam suasana tidak formal.

“Bagi kelas bahasa, kita sedang meneliti pelaksanaan kelas percuma yang boleh disertai secara terbuka, sama ada untuk belajar atau sebagai ruang berlatih,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa amalan berterusan amat penting dalam penguasaan bahasa kerana kekurangan ruang untuk berlatih di rumah atau dalam komuniti boleh menyebabkan kanak-kanak hilang keyakinan serta kurang berminat untuk menggunakan bahasa berkenaan.

Hannah berkata pelaksanaan program tersebut masih dalam peringkat perbincangan dan akan dimulakan sebagai projek rintis di beberapa lokasi terpilih sebelum diperluaskan ke kawasan lain.

Selain itu, katanya, kementerian turut mempertimbangkan penglibatan guru bersara yang mahir berbahasa untuk menyumbang secara sukarela dengan sesi pengajaran fleksibel antara satu hingga dua jam.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kementerian juga merancang penganjuran kelas sukan percuma, termasuk senamrobik dan lompat tali, sebagai usaha menangani kadar obesiti dalam kalangan generasi muda.

Pemilihan lokasi pelaksanaan program akan mengambil kira keperluan komuniti setempat, khususnya keluarga penjawat awam yang berdepan kekangan masa untuk meluangkan masa bersama anak-anak.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama masyarakat Tionghua di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Perting, berkata penguasaan lebih daripada satu bahasa merupakan aset penting dalam menghadapi cabaran global serta meningkatkan daya saing generasi muda tanpa menjejaskan asas identiti nasional.

Beliau berkata usaha meningkatkan kualiti pendidikan perlu dilihat sebagai agenda nasional yang melangkaui perbezaan kaum, dengan penekanan terhadap penambahbaikan sekolah, latihan guru serta penyediaan kemudahan yang mencukupi.