
PUTRAJAYA, 6 Jun – Kebenaran penggunaan sehingga RM50 juta daripada Dana Program Berimpak Tinggi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran untuk pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) 2.0, disambut baik pemain industri termasuk sektor aeroangkasa dan pembinaan.
- Pemain industri gunakan dana untuk memperkasakan program TVET sedia ada dan melatih lebih ramai bakat baharu, khususnya dalam aeroangkasa.
- Dana akan dimanfaatkan untuk latihan kemahiran kecerdasan buatan bagi memperluaskan peluang kerjaya pelajar kejuruteraan.
- Kerajaan memberi galakan bagi kerjasama sektor swasta dan TVET untuk mencari solusi penghasilan bahan binaan termaju.
Menurut Ketua Pembangunan Perniagaan UMW AEROSPACE Sdn Bhd, Ahmad Zuhairy Muhammad, dana itu dapat membantu pihak industri untuk terus memperkasa program-program sedia ada.
“Sebagai pemain industri, dana tersebut amat diperlukan untuk sumber bakat bagi syarikat-syarikat terutamanya sektor aeroangkasa yang turut menjadi penekanan dalam Rancangan Malaysia ke-13.
“Justeru itu, dengan penambahan peruntukan dana ini kita akan melatih lebih ramai bakat baharu untuk menyokong industri-industri,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) UTNM Resources Sdn Bhd, Ierma Nazir Zamri berkata dana tersebut akan dimanfaatkan untuk menyediakan latihan kemahiran kecerdasan buatan (AI).
“Kebenaran penggunaan dana ini bagus sebab dapat membantu pelajar ketika ini memperluaskan kerjaya mereka dalam bidang kejuruteraaan terutamanya kemahiran AI,” ujar beliau.
“Saya menyambut baik kerana ia menjadi galakan daripada kerajaan untuk membantu pemain industri swasta dan pelajar TVET bersama kami dapat mencari satu solusi penghasilan bahan binaan yang termaju,” kata Eksekutif Pembangunan Perniagaan (Kewangan) TASHBLOCK Sdn. Bhd, Muhammad Hatim Shopuan Anuar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kebenaran penggunaan dana tersebut yang memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran dalam bidang teknologi masa depan sekaligus memperkasa ekosistem TVET agar selari keperluan semasa industri.