
TAPAH, 6 Jun – Semangat juang tinggi serta tindakan mengikuti laluan sungai dipercayai menjadi antara faktor utama yang membantu pendaki wanita, Jaslinda Saludin
bertahan sebelum ditemui selamat.
- Lokasi mangsa dijumpai dalam zon pencarian yang telah diperiksa pasukan penyelamat.
- Kawasan pencarian mempunyai muka bumi mencabar seperti lembah, air terjun dan laluan sukar diakses.
- Ketahanan mental mangsa membantu beliau terus bergerak dan bertahan sepanjang tempoh kehilangan.
- Pendaki dinasihatkan kekal di laluan asal, elak bergerak jauh, dan lakukan aktiviti rekreasi secara berkumpulan untuk keselamatan.
Presiden Malim Gunung Perhutanan Perak, Muzafar Mohamad berkata, lokasi mangsa ditemui berada dalam zon pencarian yang telah diperiksa pasukan penyelamat.
Namun jelasnya kawasan tersebut mempunyai bentuk muka bumi yang mencabar dengan lembah, air terjun dan laluan sukar diakses.
Menurut beliau, kemampuan mangsa meredah kawasan berisiko itu menunjukkan ketahanan mental yang kuat untuk terus bergerak dan bertahan sepanjang tempoh kehilangan.
“Kita kata ini bukan soal kemahiran tapi semangat untuk terus keluarlah yang ada pada diri beliau. Kalau ikutkan laluan yang dia lalui tu, kalau kita lihat, daripada jangkaan saya, dia akan ikut sungailah. Itu yang buatkan dia terus bertahan lah. Makna kalau dia jauh daripada sungai, mungkin sukar untuk dia bertahan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan pendaki atau pengunjung hutan yang tersesat supaya kekal berada di laluan asal dan mengelakkan pergerakan terlalu jauh bagi memudahkan pasukan SAR mengesan kedudukan mereka.
Selain itu, aktiviti rekreasi juga disaran dilakukan secara berkumpulan bagi meningkatkan aspek keselamatan ketika berdepan situasi kecemasan.