Jaslinda ditemukan lemah, menangis – Penduduk

Pendaki hilang, Jaslinda Saludin ditemukan dalam keadaan lemah dan menangis. Foto JBPM Perak

TAPAH, 6 Jun – Pendaki wanita yang hilang di kawasan Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, ditemukan dalam keadaan lemah berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Tapah, petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penduduk Nazri dan keluarganya menemui Jaslinda ketika menuju ke jambatan kampung untuk memancing sekitar 5.15 petang.
  • Keadaan mangsa sangat lemah, menangis, dipercayai kurang makanan sejak beberapa hari, diberi makan dan minum di rumah Tok Batin.
  • Dia membawa beg berisi hasil hutan seperti daun dan cendawan; kemudiannya dibawa ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut.

Mangsa ditemui oleh penduduk kampung, Nazri a/l Bah Eng bersama ahli keluarganya ketika dalam perjalanan ke kawasan jambatan kampung untuk memancing kira-kira pukul 5.15 petang.

Keadaan Jaslinda ketika itu dilaporkan sangat lemah dan dipercayai tidak mendapat bekalan makanan mencukupi sejak beberapa hari berada dalam hutan selepas dilaporkan hilang.

“Saya nampak akak Linda, dia berjalan tidak berapa ok la. Selepas itu, dia menangis. Kemudian, kami bawa dia ke rumah Tok Batin, kami bagi makan dan minum sehingga dia kenyang,” katanya.

Beliau turut memaklumkan mangsa membawa sebuah beg yang mengandungi beberapa hasil hutan seperti daun dan cendawan yang dipercayai dipetik sepanjang berada di kawasan pergunungan.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut.

Sebelum ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan selepas Jaslinda dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.