Sasar penglibatan 30 peratus veteran ATM, perkasa industri pertahanan

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari menerusi temu bual bersama RTM di MITEC

KUALA LUMPUR, 23 April- Kerajaan menyasarkan 30 peratus penglibatan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam pasaran tenaga kerja industri pertahanan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Veteran ATM mempunyai pengalaman luas dan mampu memperkasa industri pertahanan negara.
  • Golongan veteran paling mahir kerana pernah menggunakan dan memahami peralatan pertahanan.
  • Pelaburan kerajaan dalam latihan anggota tentera tidak sewajarnya disia-siakan.
  • Ramai veteran cenderung keusahawanan selepas bersara, namun trend boleh diubah dengan usaha berterusan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata sasaran itu penting, memandangkan golongan tersebut mempunyai pengalaman luas sebagai anggota sekaligus dapat memperkasa industri pertahanan negara.

“Golongan yang paling mahir dalam industri pertahanan ini ialah anggota veteran kerana mereka pernah menggunakan dan memahami alat-alat pertahanan.

“Sebenarnya, itu menjadi keupayaan negara. Jadi, mana-mana industri yang mahu kehadapan, mesti memanfaatkan kemahiran dan pengalaman golongan veteran ATM,” ujar beliau.

Mengulas lanjut katanya, pelaburan kerajaan dalam melatih kemahiran dan kepakaran sebagai anggota tentera tidak sewajarnya disia-siakan pada masa sama, beliau mengakui golongan veteran ATM lebih cenderung menceburi bidang keusahawanan selepas bersara.

Bagaimanapun, beliau optimis trend tersebut boleh diubah menerusi pelbagai usaha yang berterusan.

Beliau berkata demikian menerusi temu bual bersama RTM di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia.