Perkasa akses pendigitalan perpustakaan desa

Foto BERNAMA

IPOH, 23 April – Sebanyak 37 perpustakaan desa di seluruh negara telah berjaya dinaik taraf tahun ini dalam usaha memperkukuh kemudahan pembelajaran komuniti khususnya di kawasan luar bandar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dilaksanakan secara berperingkat di bawah seliaan Perpustakaan Negara Malaysia.
  • Sebahagian daripada usaha menaik taraf 506 perpustakaan desa secara berfasa.
  • Penambahbaikan termasuk kemudahan ICT, capaian internet dan perkhidmatan WiFi berkelajuan tinggi.
  • Kerajaan tekankan pendigitalan buku untuk bacaan generasi muda dan akses ilmu ke komuniti luar bandar.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R. Yuneswaran berkata, pelaksanaan itu dilakukan secara berperingkat di bawah seliaan Perpustakaan Negara Malaysia.

Menurutnya, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha menaik taraf keseluruhan 506 perpustakaan desa di seluruh negara yang dilaksanakan secara berfasa.

“Antara penambahbaikan yang dilaksanakan termasuk penyediaan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), capaian internet dan perkhidmatan WiFi berkelajuan tinggi,” katanya.

Jelasnya lagi, kerajaan akan terus memberi penekanan terhadap usaha pendigitalan perpustakaan selaras dengan keperluan semasa.

“Zaman berubah dan selaras itu menuntut kepada keperluan memperkasakan lagi buku-buku secara digital untuk bacaan generasi muda,” tambah beliau ketika sidang media selepas merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan 2026 Zon Utara di Stadium Indera Mulia, Ipoh.

Langkah itu bagi memastikan akses kepada bahan bacaan dan ilmu pengetahuan dapat dinikmati secara meluas termasuk oleh masyarakat luar bandar.