
SHAH ALAM, 21 Januari – Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyifatkan pelancaran Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 sebagai langkah strategik dalam memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara secara inklusif dan berdaya saing.
- RPTM disokong UiTM untuk memperluas akses pendidikan berkualiti dan mencegah keciciran pelajar.
- Penambahan 3,000 tempat IPTA dalam bidang strategik termasuk AI, Data Sains dan Undang-Undang.
- Penekanan pada TVET, digitalisasi dan penerapan AI di politeknik serta kolej komuniti untuk tenaga kerja berkemahiran tinggi.
- Penambahan 5,000 unit penginapan pelajar dan pengukuhan MPU Bahasa Melayu berfokus Perlembagaan dan Sejarah.
Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, pelaksanaan RPTM selari dengan aspirasi UiTM untuk meluaskan akses pendidikan berkualiti, membangunkan bakat berkemahiran tinggi serta memastikan tiada pelajar tercicir daripada arus pendidikan tinggi.
“Antara inisiatif utama RPTM termasuk jaminan tempat di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kepada pelajar cemerlang, pendidikan percuma kepada pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) serta bantuan pembiayaan kepada pelajar daripada keluarga miskin tegar, sekali gus memperkukuh prinsip kesaksamaan pendidikan dan mobiliti sosial,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, UiTM turut menyokong penambahan 3,000 tempat pengajian IPTA pada tahun ini, termasuk dalam bidang strategik seperti Undang-Undang, Perakaunan, Kewangan, Kecerdasan Buatan (AI), Data Sains, Komunikasi dan Pengajian Media, selaras dengan keperluan pasaran kerja masa hadapan dan agenda ekonomi berasaskan pengetahuan.
Penekanan terhadap pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), digitalisasi serta penerapan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) di Politeknik dan Kolej Komuniti juga dilihat sebagai langkah penting dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan relevan dengan landskap industri global.
“Tambahan 5,000 unit penginapan pelajar serta penambahbaikan pengurusan Tingkatan Enam dan Matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bermula 2027 dilihat dapat memperkukuh kesinambungan pendidikan prauniversiti ke peringkat ijazah,” katanya.
Dalam usaha membina jati diri nasional, UiTM menyokong pemerkasaan semula Mata Pelajaran Umum (MPU) dalam Bahasa Melayu dengan penekanan kepada Perlembagaan dan Sejarah Malaysia.
“UiTM komited untuk terus memainkan peranan strategik dalam menjayakan agenda RPTM 2026–2035 demi melahirkan graduan berdaya saing, berintegriti dan beridentiti nasional,” katanya.