
KUALA LUMPUR, 21 Januari – Inisiatif kerajaan memperkenalkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada pelajar sekolah rendah dan menengah bermula tahun depan disifatkan langkah strategik membina asas kemahiran murid seawal peringkat awal persekolahan.
- Perkenalan TVET di sekolah rendah dan menengah bina asas kemahiran murid sejak awal.
- Pelaksanaan membantu mengesan dan membangunkan bakat, minat serta kecenderungan pelajar secara sistematik.
- Perlu pengukuhan latihan guru, penglibatan industri dan pemerkasaan Majlis TVET Negara.
Pengerusi Kluster TVET Kongres Ekonomi Bumiputera, Datuk Shamsuddin Amran berpandangan, pelaksanaan tersebut satu pendekatan proaktif mengesan bakat, minat serta kecenderungan murid dan pelajar lebih awal, sekali gus membolehkan potensi mereka dibangunkan secara sistematik dan berperingkat.
Ia turut memberi peluang kepada pelajar untuk menilai kecenderungan kebolehan, sekali gus mengurangkan risiko aliran pendidikan yang tidak sesuai dengan keupayaan dan minat sebenar pelajar.
Sehubungan itu, beliau berpandangan kementerian terlibat wajar mempergiatkan kempen kesedaran awam, selain memperluas program libat urus bersama ibu bapa dan pelajar bagi memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap pendidikan TVET di sekolah.
“Ini merupakan satu cabaran bagi saya kerana untuk mengajar, kita perlu memastikan jurulatih atau guru tersebut benar-benar terlatih dan mempunyai kecekapan teknikal yang tinggi.
“Kemahiran teknikal ini mereka perlu mendapat latihan khusus daripada pakar-pakar teknikal dan di sinilah saya rasa penglibatan pihak industri untuk membantu menjadikan mereka ini ataupun guru-guru ini mendapat latihan yang secukupnya dan mereka mempunyai ‘skill’ yang baik untuk mengajar pelajar-pelajar tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada RTM ketika diminta mengulas mengenai perkara berkenaan.
Dalam masa sama, beliau berkata bagi memastikan pelaksanaan ini benar-benar berkesan peranan Majlis TVET Negara perlu diperkasakan.