
KUALA LUMPUR, 21 Januari – Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (Peniagawati) melangkah ke fasa baharu sebagai organisasi yang lebih inklusif menerusi pelancaran ‘Chapter-Chapter Peniagawati’ bagi memastikan usahawan wanita di seluruh negara, termasuk di kawasan luar bandar dan pinggir bandar, tidak ketinggalan dalam mendepani era ekonomi digital dan kecerdasan buatan.
- Pelancaran "Chapter-Chapter Peniagawati" memperluas sokongan ke peringkat negeri dan wilayah untuk usahawan wanita.
- Inisiatif bertujuan memastikan inklusiviti dan kesiapsiagaan usahawan wanita menghadapi ekonomi digital dan kecerdasan buatan.
- Peniagawati berjaya memeterai Memorandum Persefahaman menerusi misi dagang antarabangsa untuk akses pasaran luar.
- Majlis diserikan dengan keberangkatan kerabat diraja dan penganugerahan bagi menghargai kecemerlangan usahawan wanita.
Presidennya, Datuk Emmy Suraya Hussein, berkata inisiatif tersebut bertujuan memperluaskan sokongan organisasi ke peringkat negeri dan wilayah, selain memperkukuh peranan Peniagawati sebagai platform pembangunan ekonomi wanita yang mampan.
“Dengan pelancaran Chapter-Chapter ini, kita melangkah ke fasa baharu sebagai sebuah organisasi yang lebih inklusif bagi memastikan tiada usahawan wanita yang ketinggalan dalam mendepani era ekonomi digital dan kecerdasan buatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Minum Petang Diraja bersempena sambutan ulang tahun ke-45 Peniagawati yang berlangsung di sebuah hotel, di sini.
Majlis tersebut diserikan dengan keberangkatan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, sekali gus menjadi simbolik penghormatan tertinggi kepada para usahawan wanita di bawah naungan Peniagawati.
Keberangkatan tiba Baginda berdua turut diiringi isteri Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.
Sejurus berangkat tiba, Sultanah Nur Zahirah dan Tuanku Zara Salim berkenan melawat ruang pameran dan galeri khas Peniagawati yang memaparkan garis masa pencapaian persatuan tersebut sepanjang 45 tahun penubuhannya.
Datuk Emmy turut memaklumkan Peniagawati telah mencatat kejayaan menerusi misi dagang antarabangsa ke negara jiran dan Asia Barat yang menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman bagi membolehkan produk ahli menembusi pasaran antarabangsa.
Menurut beliau, usaha tersebut secara langsung meningkatkan daya saing serta mengangkat kredibiliti jenama usahawan wanita tempatan di peringkat global.
Sebelum keberangkatan pulang, Sultanah Nur Zahirah dan Tuanku Zara Salim turut berkenan menyaksikan majlis penyampaian Anugerah Peniagawati sebagai penghargaan kepada kecemerlangan para usahawan wanita.