
KUALA LUMPUR, 21 Januari – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menegaskan komitmen untuk memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam semua siasatan berkaitan kes rasuah yang sedang dikendalikan agensi berkenaan.
- MINDEF akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM dalam semua siasatan rasuah berkaitan kementerian dan ATM.
- Komitmen ini selari dengan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan integriti untuk melindungi imej institusi pertahanan.
- Kedua pihak berbincang untuk menambahbaik tatacara perolehan bagi mengurangkan risiko rasuah dan salah guna kuasa.
- SPRM setuju memberi khidmat nasihat untuk memperkukuh tadbir urus perolehan MINDEF dan Angkatan Tentera Malaysia.
Menurut kenyataan Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, komitmen itu selari dengan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan integriti bagi memastikan institusi pertahanan negara bebas daripada sebarang amalan yang boleh mencemarkan nama baiknya.
Beliau berkata perkara itu dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, di Wisma Pertahanan, hari ini.
Kunjungan tersebut katanya mencerminkan komitmen bersama antara kementerian dengan SPRM untuk memperkukuh integriti serta tadbir urus, sekali gus meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara.
Datuk Seri Mohamed Khaled berkata kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai keperluan penambahbaikan tatacara perolehan sedia ada bagi memastikan pelaksanaannya lebih berkesan serta bebas daripada risiko rasuah dan salah guna kuasa.
Selain itu, SPRM turut bersetuju menawarkan khidmat nasihat bagi membantu memperkukuh tadbir urus perolehan MINDEF dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Beliau menegaskan langkah itu penting bagi merealisasikan usaha berterusan kementerian membanteras rasuah serta mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap ATM melalui amalan tadbir urus yang bersih.