TASKA tidak berdaftar di Selangor disiasat, premis tidak penuhi ciri keselamatan

Foto fail

KUALA LUMPUR, 21 Januari -Sebuah taska di Selangor dipercayai terbabit kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) termasuk isu penderaan di cawangannya, didapati tidak berdaftar sebagai operator TASKA bawah Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984.

RINGKASAN BERITA AI
  • Premis taska didapati tidak memuaskan, tidak kondusif dan tidak memenuhi ciri keselamatan sewajarnya.
  • Taska berkenaan tidak berdaftar di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.
  • Kes penderaan dilaporkan kepada polis, siasatan sedang dijalankan oleh PDRM.
  • JKM akan laksanakan tindakan penguatkuasaan, semakan pendaftaran dan mengingatkan ibu bapa pilih taska berdaftar.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam satu kenyataan memaklumkan, hasil siasatan dan pemeriksaan JKM Selangor pada 10 pagi tadi di ketiga-tiga lokasi dimaksudkan mendapati, premis berkenaan berada dalam keadaan tidak memuaskan, tidak kondusif dan tidak memenuhi ciri keselamatan sewajarnya.

“Susulan penemuan itu, JKM Negeri Selangor akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan serta tindakan bawah peruntukan undang-undang berkaitan terhadap pusat-pusat berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Hasil siasatan mendapati, pusat-pusat terbabit menawarkan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak merangkumi pelbagai kategori termasuk TASKA, TADIKA serta perkhidmatan pemulihan dan terapi kepada kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU).

Sehubungan itu, siasatan turut melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) bagi tujuan semakan dan tindakan lanjut.

Bagi dakwaan penderaan kanak-kanak, perkara itu telah dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kini berada bawah siasatan pihak polis.

Menurut kenyataan itu, JKM Selangor akan mengadakan pertemuan dengan pihak operator taska terlibat bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

JKM dalam pada itu menegaskan aspek keselamatan, perlindungan dan kesejahteraan kanak-kanak merupakan keutamaan dalam penyediaan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di negara ini.

“Justeru, JKM dari semasa ke semasa sentiasa mengingatkan ibu bapa untuk memilih dan menghantar anak ke taska yang berdaftar kerana ia tertakluk kepada pematuhan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 termasuk standard minimum keselamatan, kebersihan, kemudahan fizikal serta nisbah pengasuh yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Menurut JKM, setiap premis taska berdaftar wajib mempamerkan Plak Pendaftaran TASKA yang dikeluarkan JKM di hadapan setiap premis.

Status pendaftaran taska boleh disemak menerusi Portal Rasmi JKM.

“JKM komited melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan undang-undang,” menurut kenyataan itu.

Kerjasama erat antara ibu bapa, komuniti dan agensi kerajaan amat penting bagi memastikan keselamatan kanak-kanak sentiasa terpelihara dan tidak dikompromi.

Sebelum ini tular di media sosial, video dipercayai dikongsi petugas di sebuah taska di Shah Alam yang memaparkan seorang kanak-kanak autistik dikurung dalam sebuah stor dengan keadaan menangis teresak-esak.

Turut tular video memaparkan kanak-kanak dengan jenama taska sama di cawangan Puchong diminta merangkak di dalam longkang didakwa bagi mengelak pemeriksaan pihak JKM.