Pelaksanaan TVET perlu perancangan rapi agar tidak jejas kualiti pengajaran

GAMBAR HIASAN/RTM

KUALA LUMPUR, 22 Januari Keputusan kerajaan memperkenalkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di peringkat sekolah rendah dan menengah bermula 2027 dilihat mampu melahirkan pelajar berkemahiran, celik teknologi serta berdaya saing.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan TVET perlu dirancang rapi supaya tidak membebankan guru dan menjejaskan kualiti pengajaran.
  • TVET di peringkat rendah wajar diberi pendedahan asas secara eksplorasi untuk menarik minat murid.
  • TVET di peringkat menengah menekankan kemahiran digital dan teknologi sesuai untuk perkembangan pelajar.
  • Perancangan awal perlu mengambil kira tahap kesesuaian umur dan kemampuan murid bagi keberkesanan pelaksanaan.

Presiden Ikatan Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hassan berkata, pelaksanaan TVET yang dirancang secara teratur berupaya membentuk generasi murid berkemahiran tinggi dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan.

Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan perancangan yang rapi perlu dilakukan bermula sekarang agar guru tidak terbeban dengan tugas tambahan yang boleh menjejaskan kualiti pengajaran.

“Kita tidak mahu pelaksanaan TVET ini menjadi satu beban baharu kepada guru. Perkara ini perlu dipastikan supaya guru-guru tidak terbeban apabila pembelajaran TVET dilaksanakan.

Ujar beliau, tahap kesesuaian murid juga perlu diberi perhatian bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan mengikut peringkat umur dan kemampuan pelajar.

“Di peringkat sekolah rendah, TVET seharusnya dilaksanakan sebagai pendedahan asas secara eksplorasi bagi menarik minat murid ke dalam bidang TVET.

“Manakala di peringkat menengah, ia merupakan satu usaha yang baik kerana mengambil kira kemahiran dari sudut digital dan teknologi”, katanya demikian ketika dihubungi RTM

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkenalkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada pelajar sekolah rendah dan menengah menerusi Kurikulum Persekolahan bermula 2027 tahun depan.

Ini membolehkan pelajar tahun satu hingga tahun enam serta tingkatan satu, dua dan tiga diberi pendedahan dan berpeluang memilih jurusan lebih awal.