
KENINGAU, 16 Ogos – Projek bangunan Jabatan Pesakit Luar (JPL) baharu Hospital Tambunan yang terbengkalai sejak sembilan tahun lalu bakal dihidupkan semula bagi memastikan pesakit dan warga kerja tidak lagi berdepan keadaan sempit serta sesak.
- Peruntukan segera RM988,000 diumumkan bagi menaik taraf kemudahan Hospital Tambunan.
- Kebanyakan dana untuk menaik taraf Jabatan Kecemasan; RM185,000 diperuntukkan membaiki bangunan kantin rosak teruk.
- Hospital menerima sumbangan sebuah katil hidraulik dan mesin ultrasound, serta enam katil hidraulik dan sebuah ultrasound diluluskan kerajaan.
- Permohonan dana untuk ruang klinik pergigian akan diangkat segera dalam perancangan bajet RMK13.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, keadaan projek berkenaan antara perkara yang paling meruntun hatinya ketika turun padang meninjau Hospital Tambunan hari ini.
“Satu perkara yang paling meruntun hati saya hari ini adalah projek bangunan JPL baharu yang sudah sembilan tahun terbengkalai.
“Kasihan melihat pesakit dan staf terpaksa berhimpit dan bersesak setiap hari akibat masalah ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dzulkefly berkata, kerajaan akan berusaha menghidupkan semula projek berkenaan dan memastikan ia disiapkan demi keselesaan serta hak warga Tambunan.
“Insya-Allah, projek yang ‘sakit’ ini akan kita hidupkan semula dan pastikan ia disiapkan demi keselesaan dan hak warga Tambunan,” katanya.

Dalam hantaran sama, beliau turut mengumumkan peruntukan segera RM988,000 bagi menambah baik kemudahan Hospital Tambunan.
Tambah beliau, sebahagian besar peruntukan itu akan digunakan untuk menaik taraf Jabatan Kecemasan, manakala RM185,000 diperuntukkan bagi membaiki bangunan kantin yang rosak teruk.
“Saya juga simpati melihat staf dan pelawat tiada tempat makan yang sesuai kerana bangunan kantin rosak teruk.
“Baki dana selebihnya akan diguna untuk membeli peralatan perubatan dan kemudahan lain yang sangat diperlukan,” katanya.

Hospital Tambunan turut menerima sumbangan sebuah katil hidraulik dan sebuah mesin ultrasound daripada Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, selain enam katil hidraulik dan sebuah mesin ultrasound yang diluluskan kerajaan.
Berhubung ruang klinik pergigian, Dzulkefly berkata permohonan dana bagi tujuan itu akan diangkat segera dalam perancangan bajet pembangunan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
