
TAWAU, 16 Ogos – Beberapa penambahbaikan pelaksanaan sistem subsidi diesel bersasar sedang diteliti dan bakal diumumkan kerajaan dalam tempoh satu hingga dua bulan lagi.
- Penambahbaikan termasuk penyederhanaan proses permohonan subsidi diesel bersasar.
- Kelonggaran kriteria kelayakan untuk isu kenderaan sambung bayar dan pemindahan kuota kepada ahli keluarga terdekat.
- Penerima yang layak digalakkan memohon serta mendapatkan bantuan di cawangan LHDN, UTC dan stesen minyak terlibat.
- Penyediaan Belanjawan 2027 dijangka memastikan subsidi disalurkan lebih berkesan dan menyeluruh kepada rakyat.
Jelas Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, langkah penambahbaikan itu merangkumi penyederhanaan proses permohonan, kelonggaran kriteria kelayakan bagi isu kenderaan sambung bayar dan pemindahan kuota kepada ahli keluarga terdekat.
“Setakat ini kira-kira 120,000 pemilik kenderaan di Sabah layak memohon kuota berkenaan, namun hanya sekitar 49,000 telah membuat permohonan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan mereka yang layak supaya segera membuat permohonan, selain mendapatkan bantuan di cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), UTC serta stesen minyak yang terlibat.
Beliau menyatakannya pada sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 bersama dengan pemain industri, di sini hari ini.
Datuk Seri Amir Hamzah menambah penyediaan Belanjawan 2027, akan memastikan pelaksanaan subsidi diesel bersasar dapat disalurkan kepada rakyat secara lebih berkesan dan menyeluruh.
“Pendekatan ini sejajar hasrat kerajaan bagi memastikan setiap peruntukan yang dikeluarkan memberi impak nyata serta menyelesaikan isu beban kos sara hidup pada peringkat akar umbi,” ujar beliau.