
SUBANG JAYA, 16 Ogos — Bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) terus memberi kelegaan kepada penerima, khususnya golongan berpendapatan rendah, warga emas dan ibu tunggal dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.
- Bantuan STR digunakan untuk menampung keperluan asas harian seperti beras, bawang, minyak masak dan susu.
- Penerima termasuk pesara, ibu tunggal dan warga emas meminta program diteruskan atau ditambah bagi keperluan keluarga.
- Seramai 5.3 juta penerima mula terima bayaran Fasa 3, antara RM150 hingga RM600; jumlah tiga fasa mencecah RM3.6 bilion.
Bagi penerima, bantuan itu dapat digunakan untuk menampung keperluan asas harian termasuk pembelian makanan dan barangan dapur.
Pesara, Uzail Zawahir, berkata bantuan berkenaan sedikit sebanyak membantu meringankan beban kos sara hidup, khususnya bagi mendapatkan barangan keperluan harian seperti beras, bawang dan minyak masak.
“Program ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat. Keperluan utama seperti beras, bawang dan minyak masak memang banyak membantu kita dalam kos sara hidup,” katanya.
Sementara itu, ibu tunggal, Wan Ilyana Wan Azmi, berkata STR banyak membantunya menampung keperluan keluarga, khususnya dalam menyara dua anak.
Katanya, bantuan berkenaan wajar diteruskan dan jika boleh ditambah bagi membantu keluarga mendapatkan keperluan makanan.
“Bagi saya, STR banyak membantu sebab saya ibu tunggal dan perlu menyara dua orang anak. Bantuan ini memang betul-betul menolong.
“Saya rasa ia perlu diteruskan dan kalau boleh ditambah lagi kerana keluarga perlukan makanan seperti ikan dan ayam,” katanya.
Bagi warga emas, Rabiah Ali, bantuan berkenaan banyak membantu menampung keperluan asas harian, terutama pembelian beras dan susu ketika kos sara hidup semakin meningkat.
“Sekarang barang semua mahal. Kami warga emas pula tak ada pendapatan, jadi bantuan ini memang dapat membantu keperluan asas seperti beras dan susu yang biasa kita makan hari-hari,” katanya.
Seorang lagi penerima STR, Mohd Nizar Abdullah, berkata bantuan itu sangat membantu mengurangkan perbelanjaan harian, khususnya bagi membeli barangan asas seperti telur yang menjadi antara makanan harian keluarganya.
“Setakat ini sangat membantu. Barang asas rumah macam telur, kalau saya beli satu papan, boleh tahan tiga hari sebab kami banyak makan telur rebus. Kalau guna duit sendiri, memang banyak juga belanjanya,” katanya.
Seramai 5.3 juta penerima mula menerima bayaran STR Fasa 3 secara berperingkat mulai 15 Ogos.
Jumlah penerima meningkat sebanyak 300,000 kepada 5.3 juta berbanding lima juta penerima pada awal tahun.
Bayaran antara RM150 hingga RM600 disalurkan mengikut pendapatan dan bilangan anak, manakala warga emas yang tiada pasangan menerima RM150.
Secara keseluruhan, jumlah STR yang disalurkan bagi tiga fasa tahun ini mencecah RM3.6 bilion.