
KLANG, 16 Ogos – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang melaksanakan latihan meluas bagi melengkapkan penjaga, sukarelawan dan komuniti dengan pengetahuan serta kemahiran khusus menghadapi cabaran populasi menua.
- Malaysia dijangka menjadi negara menua; perlu persediaan menyeluruh dalam industri penjagaan warga emas dan OKU.
- Program RYTHM dan seminar melatih penjaga, sukarelawan, pelajar IPT serta profesional, dan akan diperluas ke seluruh negara.
- Latihan menekankan terapi, teknik penjagaan praktikal, pengurusan tekanan penjaga dan penyediaan fasiliti mesra warga emas serta OKU.
Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata Malaysia dijangka mencapai status negara menua yang menuntut persediaan menyeluruh dalam industri penjagaan warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
“Industri penjagaan ini berpotensi besar. Kita mahu melatih sebanyak mungkin mereka supaya berkemahiran menjaga warga emas, OKU dan pesakit terlantar,” ujarnya.
Beliau berkongsi perkara itu dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Asas Penjagaan Warga Emas dan OKU Zon Tengah sempena Program RYTHM – Ritma Kehidupan Harmoni di sini.
Program tersebut menghimpunkan kira-kira 560 peserta terdiri daripada penjaga warga emas dan OKU, penyelia dan ahli Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), sukarelawan, belia, pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pegawai JKM serta masyarakat setempat yang terlibat dalam penjagaan atau pengurusan warga emas dan OKU.
Antara pengisian utama ialah perkongsian ilmu terapi, teknik penjagaan praktikal menggunakan fasiliti simulasi, pengurusan tekanan emosi penjaga serta aspek keselamatan harian.
“Ia melibatkan doktor dan pakar terapi daripada NGO yang berkaitan dengan penjagaan warga emas dan OKU,” katanya.
Datuk Che Murad berkata program RYTHM akan diperluas ke zon utara, timur serta Sabah dan Sarawak, dengan penglibatan pelajar IPT dalam bidang terapi bagi memperkasa sokongan komuniti.
Tambah beliau, Perak dikenal pasti antara negeri cepat menua berdasarkan komposisi umur penduduk.
Justeru penyediaan fasiliti mesra warga emas dan OKU, pelaksanaan program kesedaran mengenai kehidupan hari tua serta penjagaan kesihatan agar warga emas kekal sihat, aktif dan berdaya tahan adalah antara perkara yang diberi perhatian di peringkat pusat dan negeri.
“Usaha ini melibatkan semua negeri di seluruh negara bagi memastikan golongan berkenaan menua dalam keadaan sejahtera,” katanya.