Projek jalan pintasan Cameron Highlands dijangka siap Februari 2028

Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR, 5 Mac -Pelaksanaan dua Projek Pembinaan Jalan Pintasan di Cameron Highlands kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 38 peratus dan dijangka siap menjelang Februari 2028.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek jalan pintasan Cameron Highlands mencapai kemajuan fizikal 38 peratus dan dijangka siap Februari 2028.
  • Penaiktarafan Brinchang/Time Tunnel: dari dua lorong kepada empat lorong sepanjang satu kilometer.
  • Pembinaan laluan one-way loop dua lorong di Kea Farm sepanjang tiga kilometer untuk atasi kesesakan.
  • Skop projek termasuk Jalan Pintasan Tanah Rata dan naik taraf FT59 serta FT434, pelaksanaan reka dan bina.

Menurut Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi, projek berkenaan melibatkan kerja menaik taraf jalan dua lorong kepada empat lorong di kawasan Brinchang/Time Tunnel sepanjang satu kilometer.

Katanya, ia selain pembinaan laluan *one-way loop* dua lorong sehala di Kea Farm sepanjang tiga kilometer.

Pelaksanaan projek itu merupakan usaha holistik kerajaan dalam menangani isu kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands.

Beliau berkata, kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) turut meluluskan pelaksanaan projek pembinaan Jalan Pintasan Tanah Rata yang kini dalam fasa awal pelaksanaan.

“Skop utama projek merangkumi pembinaan Jalan Pintasan Tanah Rata (jalan alternatif) serta naik taraf Jalan FT59 dan FT434 (Jalan Griddle) sedia ada dengan anggaran panjang keseluruhan 10 kilometer.

“Projek ini dilaksanakan secara Reka dan Bina. Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor telah dikeluarkan pada 11 Februari 2026, manakala tarikh milik tapak adalah pada 16 Februari 2026.” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Leong Ngah Ngah pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara.

Sementara itu, beliau menegaskan KKR akan terus komited bekerjasama dengan kerajaan negeri serta agensi berkaitan bagi memastikan projek dijalankan dengan penuh tanggungjawab, selain mengambil kira kepentingan pemeliharaan kawasan sensitif alam sekitar.