Program gunting rambut percuma bantu persiapan sekolah

FOTO RTM

RINGKASAN BERITA AI
  • Meringankan beban ibu bapa dengan menyediakan gunting rambut percuma untuk persiapan sekolah.
  • Meningkatkan penampilan dan keyakinan pelajar hadir ke sekolah dengan kemas dan segak.
  • Memberi peluang kepada belia tempatan menyumbang khidmat bakti dan mengeratkan hubungan komuniti.

MATA AYER, 10 Januari – Program Gunting Rambut Percuma ‘Kembali Ke Sekolah’ kembali dianjurkan sebagai inisiatif berterusan bagi membantu meringankan beban ibu bapa serta memastikan penampilan kemas dan keyakinan pelajar sekolah rendah dan menengah untuk memulakan sesi persekolahan baharu 2026.

Program hasil inisiatif Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Pokok Sena itu melibatkan penyertaan seramai 30 pelajar.

Pengerusi JPKKP Kampung Pokok Sena, Mohd Nor Ismail berkata, penganjuran program berkenaan mencerminkan keprihatinan berterusan terhadap kebajikan pelajar selain komitmen memperkasa peranan golongan muda dalam aktiviti kemasyarakatan bersama komuniti setempat.

“Program ini bukan sahaja membantu mengurangkan kos persiapan persekolahan ibu bapa, khususnya dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan, malah memberi peluang kepada pelajar hadir ke sekolah dengan penampilan yang kemas, segak dan lebih berkeyakinan,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena pelaksanaan Program Gunting Rambut Percuma ‘Kembali Ke Sekolah’ di Dewan Kampung Pokok Sena yang turut dihadiri Penyelaras DUN Mata Ayer, Siti Berenee Yahaya.

Pada masa sama, penglibatan anak muda sebagai tukang gunting turut membuka ruang kepada belia tempatan menyumbang khidmat bakti kepada komuniti setempat, sekali gus mengeratkan hubungan antara generasi dalam masyarakat.