
BUKIT KAYU HITAM, 10 Januari – Seramai sembilan orang warga asing ditolak kemasukan ke Malaysia selepas didapati tidak memenuhi syarat kemasukan.
- Sembilan warga asing ditolak masuk kerana tidak memenuhi syarat kemasukan dan gagal jelaskan tujuan lawatan.
- Tujuh warga China, dua wanita dan lima lelaki usia 20-an hingga 30-an, termasuk dalam kelompok yang ditolak.
- Seorang lelaki warga Amerika Syarikat ditolak kerana tiada tempahan tiket pulang dan syarat tidak dipenuhi.
- Seorang wanita Thailand disenaraihitam dan diberi Notis Penolakan Masuk serta diarah berpatah balik.
Tindakan tersebut diambil Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) ketika kesemua warga asing mahu masuk ke negara ini melalui Kompleks Imigresen Kastam Kuarantin dan Keselamatan, ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah, semalam.
Timbalan Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Noorazam Ahmad berkata, daripada jumlah itu, tujuh merupakan warga China yang terdiri daripada dua wanita dan lima lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 30-an.
Kesemua individu terbabit tidak dibenarkan masuk ke Malaysia kerana tidak mematuhi syarat kemasukan ke negara ini serta gagal memberikan alasan dan tujuan kemasukan yang kukuh.
Selain itu, seorang lelaki warga Amerika Syarikat berusia lingkungan 40-an turut ditolak kemasukan ke Malaysia kerana tidak mempunyai tempahan tiket pulang serta tidak memenuhi syarat kemasukan yang ditetapkan.
Manakala, seorang wanita warga Thailand berusia lingkungan 30-an telah diberikan Notis Penolakan Masuk setelah didapati nama subjek tersenarai dalam senarai syak jabatan iaitu disenaraihitam daripada memasuki Malaysia.
Kesemua warga asing terbabit diarah berpatah balik ke negara asal melalui laluan masuk yang sama.
AKPS sentiasa komited dalam memastikan kawalan di pintu masuk negara berada pada tahap tertinggi serta tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak bagi tujuan yang menyalahi undang-undang.