
MARUDI, 10 Januari – Dua insiden tanah runtuh dan tanah susur dilaporkan di daerah Beluru dan Marudi, Sarawak pada Jumaat susulan hujan berterusan, namun tiada kecederaan atau kerosakan serius dilaporkan.
- APM gerak cepat ke lokasi tanah runtuh dan tanah susur, operasi dijalankan meskipun jarak jauh.
- Tiada kecederaan atau kerosakan serius dilaporkan; kediaman dilapor masih selamat.
- Orang ramai dinasihatkan peka terhadap perubahan tanah dan segera melaporkan ancaman keselamatan.
Dalam kejadian pertama, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Beluru menerima panggilan kecemasan pada pukul 8 pagi berhubung insiden tanah runtuh di Rumah Sain, Batu 17, Bukit Song, Beluru.
Skuad Charlie membabitkan tiga anggota diketuai Prebet (Pertahanan Awam–PA) Gadieng Issau bergegas ke lokasi sejauh lebih 110 kilometer dari pejabat operasi dan tiba pada pukul 4.58 petang.
Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), runtuhan berlaku di bahagian belakang dua buah rumah akibat hujan berterusan sejak 9 Disember lalu, namun struktur kediaman masih selamat dan tiada kecederaan dilaporkan.
Pasukan turut menasihatkan penghuni supaya kekal berwaspada serta bersedia berpindah sekiranya keadaan bertambah buruk sebelum operasi ditamatkan pada pukul 5.20 petang.
Dalam kejadian berasingan, PKOD Marudi menerima panggilan awam pada pukul 7.06 malam berhubung insiden tanah susur di Jalan Raya Marudi–Miri.
Susulan itu, Skuad Alpha membabitkan empat anggota diketuai Prebet (PA) Ling Hong Sia bergerak dua minit selepas panggilan diterima dan tiba di lokasi pada pukul 9.16 malam.
Pemeriksaan mendapati tanah susur menutupi hampir separuh laluan jalan raya dan anggota memasang pita keselamatan sebagai amaran kepada pengguna jalan raya.
Keadaan dilaporkan terkawal dan laluan masih boleh digunakan dengan berhati-hati sebelum pasukan kembali ke pangkalan pada pukul 10.42 malam.
Dalam kedua-dua kejadian, APM menasihatkan orang ramai, khususnya penduduk di kawasan berbukit, agar sentiasa peka terhadap perubahan struktur tanah dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat ancaman keselamatan.