Jualan Rahmah MADANI tiga kali sebulan legakan penduduk Seremban

FOTO RTM

SEREMBAN, 10 Januari – Penganjuran Program Jualan Rahmah MADANI yang diadakan sebanyak tiga kali sebulan bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) disambut baik masyarakat di Seremban, Negeri Sembilan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program diadakan tiga kali sebulan memberi kelegaan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
  • Rakyat menjimatkan perbelanjaan harian dengan memperoleh barangan keperluan pada harga lebih rendah.
  • Inisiatif memperkukuh sokongan kos sara hidup dan membantu keluarga mengurus perbelanjaan isi rumah.
  • Program disambut baik penduduk sebagai usaha kerajaan menjaga kebajikan dan meringankan beban rakyat.

Tinjauan RTM mendapati, kekerapan penganjuran program tersebut memberi kelegaan kepada penduduk setempat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana dalam menangani peningkatan kos sara hidup.

Seorang pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Nur Syafiqah Sabri berkata, program berkenaan membantu rakyat menjimatkan perbelanjaan harian.

Sementara itu,Muhammad Firdaus menyifatkan Jualan Rahmah sebagai satu alternatif terbaik untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan.

“Pada pendapat saya, ini merupakan satu alternatif yang sangat baik kerana rakyat boleh membeli barangan dengan harga lebih murah dan sewajarnya diadakan dengan lebih kerap,” katanya.

Bagi Faizal Lamin dan Nabila Aqilah Abdullah, pelaksanaan Jualan Rahmah sebanyak tiga kali sebulan amat membantu dalam mengurus perbelanjaan isi rumah.

“Harga barang di sini lebih murah. Apabila kerajaan mengumumkan Jualan Rahmah tiga kali sebulan, ia sangat membantu perbelanjaan rumah kami,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Nadia Kassim berkata, inisiatif berkenaan membolehkannya membeli barangan keperluan harian seperti beras dan minyak masak pada harga lebih rendah berbanding pasaran.

Seorang lagi penduduk, Lee Wai Li pula menyambut baik langkah kerajaan itu dan menganggapnya sebagai usaha berterusan dalam menjaga kebajikan rakyat.

“Saya rasa ini satu inisiatif yang baik dan kami berterima kasih kepada kerajaan kerana membantu meringankan beban rakyat,” katanya.

Pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI yang lebih kerap merupakan antara usaha berterusan kerajaan bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara dan bantuan dapat dinikmati secara menyeluruh di setiap kawasan.

Inisiatif tersebut juga dijangka memperkukuh jaringan sokongan kos sara hidup, khususnya kepada golongan yang memerlukan.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi Bulan Januari dan Amanat Tahun 2026 mengumumkan bahawa Program Jualan Rahmah MADANI yang bermula pada Jumaat akan diadakan sebanyak tiga kali sebulan di setiap DUN.

Menurut beliau, secara keseluruhan lebih 23,000 Program Jualan Rahmah MADANI akan dianjur melibatkan 600 DUN serta 40 lokasi di Wilayah Persekutuan.