
ARAU, 12 Oktober – Hanya individu atau wakil syarikat mendaftar sebagai Perantara Berdaftar serta mendapat kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sahaja dibenar untuk menjalankan urus niaga bagi pihak pelanggan di semua pejabat dan cawangan JPJ seluruh negara bermula 1 Januari 2027.
- Pendaftaran Perantara Berdaftar dibuka mulai 1 November melalui platform yang disediakan JPJ.
- Setiap Perantara Berdaftar akan menerima pengenalan digital dengan tempoh sah laku dua tahun, tertakluk pada syarat jabatan.
- JPJ tidak mengiktiraf atau bertanggungjawab terhadap perkhidmatan perantara; orang awam dinasihatkan menggunakan saluran rasmi MyJPJ, Portal atau kaunter.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, Ketetapan ini antara langkah proaktif JPJ dalam mengawal selia aktiviti perantara yang mewakili pelanggan dengan lebih teratur, telus dan
berintegriti.
Sehubungan itu, pendaftaran perantara berkenaan akan dibuka mulai 1 November depan melalui platform yang disediakan JPJ.
Setiap Perantara Berdaftar yang diluluskan akan diberikan pengenalan rasmi digital yang mengandungi nombor siri dengan tempoh sah laku selama dua tahun, tertakluk kepada syarat dan peraturan jabatan.
“Mulai Januari, mana-mana wakil atau ‘runner’ yang membawa pelanggan dan menjalankan urus niaga bagi pihak mereka di JPJ diwajibkan memiliki ID Perantara Berdaftar yang sah dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Tanpa ID berkenaan, mereka tidak dibenarkan menjalankan sebarang urus niaga,” katanya ketika meninjau perkhidmatan kaunter JPJ Perlis yang baharu di Kompleks JPJ Negeri Perlis, di sini.
JPJ menegaskan bahawa pelaksanaan ini tidak bermaksud jabatan mempunyai sebarang ikatan, kerjasama atau hubungan perniagaan dengan mana-mana Perantara Berdaftar.
Kelulusan pendaftaran juga bukan suatu bentuk pengiktirafan, sokongan atau jaminan JPJ terhadap perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak berkenaan dan JPJ tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian, penipuan, caj tambahan atau pertikaian yang timbul daripada urusan persendirian antara pelanggan dengan pihak Perantara Berdaftar.
Pada masa sama, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mengutamakan saluran rasmi jabatan seperti aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, kaunter atau saluran rasmi lain yang disediakan bagi mengelakkan sebarang risiko yang tidak diingini.
Dalam perkembangan lain, JPJ akan terus memperkukuh komitmen berterusan dalam meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat menerusi Projek Naik Taraf Kaunter JPJ Negeri Perlis bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13).
Tambah Datuk Aedy Fadly, Projek berkenaan melibatkan penambahbaikan kemudahan kaunter di tiga bahagian utama, iaitu Bahagian Penguatkuasa, Bahagian Pelesenan Pemandu dan Bahagian Pelesenan Kenderaan, yang menjadi antara kaunter tumpuan urusan harian pelanggan.
Penambahbaikan ini dijangka memberikan manfaat kepada kepada kira-kira 400 pelanggan yang berurusan setiap hari.
“Pelaksanaan projek ini memberikan wajah baharu kepada imej perkhidmatan JPJ Negeri Perlis yang lebih moden dan dan kondusif.
“Bukan sahaja kepada pelanggan, malah turut menyediakan persekitaran kerja yang lebih teratur dan berkualiti kepada warga kerja JPJ Perlis dalam melaksanakan tanggungjawab,” katanya.