Bantuan SARA fasa baharu disambut baik penduduk Pulau Pinang

FOTO RTM

GEORGE TOWN, 10 Januari – Langkah kerajaan menyalurkan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) fasa baharu disambut baik oleh penduduk Pulau Pinang, yang menyifatkannya sebagai bantuan tepat pada masanya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penerima mula menggunakan kredit SARA untuk membeli barangan keperluan di pasar raya dan kedai runcit tempatan.
  • Bantuan terus dikreditkan ke dalam MyKad memudahkan pengurusan bajet dapur bulanan penerima.
  • Penerima berkata jumlah bantuan membantu menampung barangan penting seperti beras, minyak masak, dan sabun.
  • SARA boleh ditebus untuk 14 kategori produk di hampir 4,100 premis rakan niaga seluruh negara.

Tinjauan RTM di beberapa pasar raya dan kedai runcit sekitar negeri itu mendapati penerima telah mula menggunakan kemudahan berkenaan untuk mendapatkan barangan keperluan asas. Kebanyakan penerima berpendapat pengkreditan terus ke dalam MyKad menjadi talian hayat dalam menguruskan bajet dapur bulanan.

Bagi Markanda Raggapan, bantuan RM100 yang diterima membolehkan beliau membeli barangan asas termasuk beras dan rempah-ratus.

“Hari ini ramai orang. Siapa baru release RM100? Ramai juga. Tapi mungkin kita mai bung RM100, semua barang boleh beli. Beras, rempah-ratus semua boleh beli. RM100 cukuplah,” katanya.

Michael Jacab pula berkata bantuan itu membantu menampung keperluan harian keluarganya, terutama barangan dapur seperti minyak masak dan sabun.

“Setakat ini, sangat membantu dari segi barang keperluan harian macam minyak masak dan sabun. Baguslah, kerajaan kalau nak tambah lagi, lagi bagus. Kami memang harap bantuan tu,” katanya.

Inson Abdul Rahman menyifatkan bantuan SARA membantu mereka yang sudah berusia dalam membeli keperluan harian.

“Beli barang makan, dah tua-tua nak beli apa. Keperluan hari-hari. Cukuplah orang bagi minyak tu pun. Syukurlah pada Tuhan,” katanya.

Sementara itu, Samsudin Pak Wan Chik mengucapkan terima kasih kerana bantuan itu sedikit sebanyak meringankan perbelanjaan keluarga.

“Alhamdulillah. Kira ekonomi rumah keluarga ni kita menjaminlah sikit. Keperluan hari-hari yang kita nak pakai ni kerajaan tolong. Saya dapat RM200, anak saya RM50-RM50. Kumpul-kumpul RM300, ambil sebulan punyalah,” katanya.

Bantuan SARA merangkumi pembelian barangan asas dalam 14 kategori produk dan boleh ditebus di hampir 4,100 premis rakan niaga di seluruh negara, membolehkan penerima mengurus keperluan asas dengan lebih mudah dan efektif.