
KUANTAN, 10 Oktober – Pembinaan Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Tanjung Kupang, Johor yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh kesiapsiagaan dan keupayaan penguatkuasaan maritim negara.
- Hanya sembilan daripada 24 Maritim Negeri dan Zon beroperasi di bangunan milik sendiri; selebihnya guna premis sewaan.
- APMM menghargai perhatian kerajaan dan peruntukan signifikan sepanjang tiga tahun kebelakangan.
- Peruntukan RM22 bilion bagi Kementerian Dalam Negeri, termasuk RM7.1 bilion untuk aset, mencerminkan komitmen terhadap keselamatan.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, projek yang dianggarkan menelan kos RM287.13 juta itu akan memperkasa penguatkuasaan keselamatan di perairan Johor dan kawasan sekitar.
Setakat ini, hanya sembilan daripada 24 Maritim Negeri dan Zon Maritim beroperasi di bangunan milik sendiri, manakala selebihnya masih menggunakan premis sewaan.
“APMM amat menghargai perhatian kerajaan terhadap pembangunan dan pengurusan agensi ini sejak tiga tahun kebelakangan ini, selain peruntukan signifikan yang diterima.
“Bagi pihak APMM, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri atas sokongan berterusan yang diberikan kepada agensi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersempena Perbarisan Tamat Latihan di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) Kuantan yang melibatkan 49 pelatih Kursus Asas Leftenan Muda Maritim Siri 13/2025.
Menurut Datuk Mohd Rosli, peruntukan RM22 bilion kepada Kementerian Dalam Negeri, termasuk RM7.1 bilion bagi pembelian dan penyelenggaraan aset angkatan tentera, polis serta badan beruniform turut mencerminkan perhatian terhadap keperluan agensi keselamatan negara.
Ia memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan untuk memastikan keselamatan, kesejahteraan dan kedaulatan negara terus terpelihara.