
KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Peningkatan peruntukan bantuan kepada Orang Kurang Upaya (OKU) kepada RM1.5 bilion menerusi Belanjawan 2027 mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh kebajikan golongan rentan.
- Kenaikan Bantuan Penjagaan OKU Terlantar dan Pesakit Kronik daripada RM500 kepada RM600 sebulan meringankan beban penjagaan keluarga.
- Peningkatan ambang pendapatan kelayakan Elaun Pekerja OKU daripada RM1,700 kepada RM2,000 meluaskan akses dan sokong kemandirian ekonomi.
- Peruntukan Bantuan Warga Emas dan RUU Warga Emas menekankan kebajikan, perlindungan dan keperluan penjagaan golongan warga emas.
- Pembiayaan latihan melalui HRD Corp bagi 8,000 tenaga kerja dan 3,000 penjaga OKU baru meningkatkan mutu perkhidmatan penjagaan serta peluang pekerjaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Nordina Haron berkata, kenaikan kadar Bantuan Penjagaan OKU Terlantar dan Pesakit Kronik daripada RM500 kepada RM600 sebulan mampu meringankan beban perbelanjaan penjagaan serta keperluan harian penerima dan keluarga mereka.
“YKN menyambut baik langkah yang diumumkan menerusi Belanjawan MADANI 2027 bagi memperkukuh kebajikan OKU, warga emas serta pembangunan ekonomi penjagaan.
“Peningkatan ambang pendapatan bagi kelayakan Elaun Pekerja OKU daripada RM1,700 kepada RM2,000 turut memperluas akses kepada bantuan untuk OKU yang bekerja, sekali gus menyokong usaha mereka mencapai kemandirian ekonomi,” katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam pada itu, Nordina berkata peningkatan peruntukan Bantuan Warga Emas kepada RM1.3 bilion yang memberi manfaat kepada hampir 200,000 penerima, selain penggubalan Rang Undang-Undang Warga Emas mencerminkan perhatian terhadap kebajikan, perlindungan dan keperluan penjagaan golongan berkenaan.
Beliau turut menyambut baik peruntukan lebih RM40 juta melalui HRD Corp bagi melatih 8,000 tenaga kerja dalam sektor penjagaan warga emas, selain menyediakan latihan kemahiran khusus kepada 3,000 penjaga OKU baharu.
Menurutnya, usaha itu penting bagi meningkatkan keupayaan tenaga kerja, memperkukuh mutu perkhidmatan penjagaan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor yang semakin diperlukan.