
KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Kementerian Komunikasi berserta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini dalam proses meneliti kerangka kawal selia dan pelesenan baharu ke atas platform e-dagang bagi mengekang pendaftaran serta penjualan barangan terlarang di pasaran tempatan.
- Platform e-dagang cuai menyenaraikan atau menyamarkan produk berbahaya; perlu langkah pencegahan dan pengkelasan produk yang betul.
- Kerangka pelesenan baharu akan memastikan produk mematuhi piawaian dan mendapat sijil pengesahan seperti SIRIM, MCMC atau sijil halal.
- Kawal selia penting untuk elakkan penyalahgunaan sistem pos dan kurier serta menjaga kebajikan pekerja ekosistem logistik; pengumuman lanjut dijangka.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, tindakan itu diambil susulan tindakan sesetengah platform e-dagang yang dikesan cuai atau menyenaraikan produk berbahaya tanpa pengkelasan betul dan cuba menyamarkan barang terlarang.
Jelas beliau, kerangka pelesenan baharu itu bertujuan memastikan semua produk yang dijual melalui platform tersebut mematuhi piawaian serta mendapat kelulusan sah daripada pihak berkuasa tempatan.
“Kita melihat sejak bertahun-tahun ini ada platform e-dagang yang prihatin dan ada yang cuai sama ada menyenaraikan produk berbahaya yang tidak diklasifikasikan dengan betul, atau cuba menyamarkan barang-barang terlarang.
“Banyak platform e-dagang mungkin merasakan mereka tidak tertakluk kepada kerangka kawal selia.
“Kita mahu memastikan produk yang masuk ke negara ini mempunyai sijil pengesahan yang betul, sama ada daripada SIRIM, MCMC, mahupun sijil halal yang sah.
“Langkah kawal selia ini juga penting bagi mengelakkan ekosistem pos dan kurier tempatan disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Pos Sedunia 2026 di Ibu Pejabat Pos Malaysia di sini.
Hadir sama, Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif Pos Malaysia, Datuk Imri Mokhtar.
Dalam pada itu, Datuk Seri Fahmi berkata langkah berkenaan turut memperkukuh pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung cadangan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) E-Dagang yang dijangka dibentangkan di Parlimen paling lewat pada mesyuarat pertama tahun depan.
Mengulas lanjut, beliau menambah penambahbaikan sistem kawal selia itu juga mengambil kira rungutan penyedia perkhidmatan kurier tempatan serta usaha menjaga kebajikan para pekerja ekosistem logistik.
“Satu pengumuman susulan berhubung perincian ekosistem kurier dan e-dagang dijangka dibuat sempena Hari Kurier Kebangsaan pada 31 Oktober ini.
“Hari ini ialah Hari Pos, tetapi pos dan kurier sangat berkait rapat dan tidak boleh dipisahkan dalam ekosistem besar ekonomi digital.
“Ini melibatkan aspek keselamatan data, pengesahan status produk, serta elak daripada sistem pos dan kurier disalahgunakan oleh mana-mana pihak untuk menghantar barang terlarang. Kita juga sangat prihatin tentang kebajikan para pekerja,” ujarnya.