NUTP hargai peningkatan peruntukan pendidikan, kebajikan guru

Foto janaan AI

CYBERJAYA, 10 Oktober – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) menghargai peningkatan peruntukan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dalam Belanjawan 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sokongan cadangan pembantu guru untuk kurangkan beban tugas perkeranian dan biar guru fokus pengajaran serta interaksi dengan murid.
  • Menyokong kenaikan Insentif Pengajaran Murid Berkeperluan Pendidikan Khas kepada RM300 sebulan bagi melancarkan proses pendidikan.
  • Peningkatan peruntukan bagi kerja pembaikan dan penyelenggaraan sekolah memudahkan perolehan dana demi keselamatan murid dan kemudahan sekolah.

Ia mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan warga pendidik dan keperluan sektor pendidikan.

Presidennya, Aminuddin Awang, berkata cadangan menyediakan pembantu guru merupakan antara perkara yang telah lama disuarakan bagi mengurangkan beban tugas perkeranian, sekali gus membolehkan guru memberikan tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran.

“Kita mahukan pembantu guru bagi mengurangkan beban tugas guru, khususnya kerja-kerja perkeranian yang menghalang mereka daripada memberikan tumpuan kepada tugas hakiki, iaitu berinteraksi secara langsung dengan murid.

“Kita yakin sekiranya inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, ia mampu mengurangkan beban tugas guru di 200 sekolah yang telah dikenal pasti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Hari Guru Sedunia yang menghimpunkan kira-kira 1,000 guru di sini, hari ini.

Mengulas kebajikan warga pendidik, Aminuddin turut menyokong kenaikan Insentif Pengajaran Murid Berkeperluan Pendidikan Khas kepada RM300 sebulan, yang disifatkan mampu membantu melancarkan proses pendidikan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kepentingan peruntukan bagi kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan sekolah demi menjamin keselamatan murid serta warga sekolah.

“Sebelum ini, pihak sekolah berdepan kesukaran mendapatkan peruntukan daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi kerja-kerja pembaikan, bukan kerana pihak berkenaan tidak mahu membantu, tetapi disebabkan kekangan peruntukan.

“Dengan peningkatan peruntukan sebanyak sekali ganda ini, kita yakin pihak sekolah akan lebih mudah mendapatkan dana untuk membaik pulih kemudahan dan infrastruktur di sekolah masing-masing,” jelasnya.

Menerusi Belanjawan 2027, kerajaan memperuntukkan RM2 bilion bagi kerja-kerja membaik pulih dan menyelenggara semua jenis sekolah.

Sementara itu, KPM menerima peruntukan hampir RM69 bilion, meningkat kira-kira RM2.8 bilion berbanding RM66.2 bilion pada tahun ini, sekali gus menjadikannya antara kementerian yang menerima peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2027.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.