
JOHOR BAHRU, 10 Oktober – Pelaksanaan sistem Transit Aliran Autonomi Bertingkat (E-ART) di Johor Bahru menerusi Belanjawan 2027 dilihat sebagai langkah jangka panjang dalam menangani masalah kesesakan trafik di bandar raya itu.
- Utamakan langkah jangka pendek dengan memperkukuh sistem pengangkutan awam sedia ada untuk kelancaran pergerakan pengguna.
- Tingkatkan kekerapan bas dan sediakan lorong khas serta keutamaan lampu isyarat supaya bas tidak terperangkap kesesakan.
- Perkasakan perkhidmatan bas henti-henti, tambah kekerapan KTM Komuter, dan sediakan park-and-ride serta ulang-alik Grab di pusat bandar.
Bagaimanapun, langkah jangka pendek perlu diberi keutamaan, khususnya dengan memperkukuh sistem pengangkutan awam sedia ada bagi memastikan pergerakan pengguna lebih lancar.
Pensyarah Kanan Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Safizahanin Mokhtar berkata, kekerapan bas perlu ditingkatkan bagi menyokong perkhidmatan Transit Rapid (RTS), selain memastikan pengguna mempunyai akses kepada pilihan pengangkutan awam yang lebih cekap.
“Pihak agensi di negeri Johor perlulah meningkatkan kekerapan bas bagi menyebarkan pengguna daripada RTS. Bagi mengelakkan bas awam ini terperangkap dengan kesesakan jalan raya, penyediaan lorong khas bas serta keutamaan di lampu isyarat perlu dilaksanakan,” katanya.
Selain pelaksanaan E-ART, Belanjawan 2027 turut merangkumi perancangan untuk memperkasa perkhidmatan bas henti-henti, meningkatkan kekerapan KTM Komuter serta menyediakan kemudahan parkir dan transit dan perkhidmatan ulang-alik Grab di kawasan pusat bandar raya.
Menurut Dr. Safizahanin, perancangan berkenaan signifikan dengan keperluan penduduk Johor Bahru yang sering berdepan kesesakan trafik, khususnya pada waktu puncak.
Menerusi Belanjawan 2027, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju melaksanakan E-ART bagi memperkukuh rangkaian pengangkutan awam di Johor Bahru.