fb fb fb fb fb

PM New Zealand tiba di Malaysia

Pesawat komersial yang membawa Luxon, mendarat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA Terminal 1) di sini dan disambut Timbalan Menteri Digital Datuk Ugak Anak Kumbong (kanan) di Kompleks Bunga Raya di sini pada 7.55 petang / FOTO BERNAMA

SEPANG, 1 September- Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon tiba di Malaysia hari ini bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari.

Ini merupakan lawatan pertama Luxon ke Malaysia sejak memegang jawatan sebagai perdana menteri pada November 2023.

Pesawat komersial yang membawa Luxon dan delegasinya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Luxon kemudiannya dibawa ke Kompleks Bunga Raya, KLIA pada pukul 7.55 petang.

Ketibaan beliau disambut Timbalan Menteri Digital Datuk Ugak Kumbong.

Ketibaan Luxon turut disambut Kawalan Kehormatan Setempat Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota lain-lain pangkat yang diketuai oleh Kapten Amirul Akmal Osman.

Semasa lawatan beliau, Luxon akan diraikan dalam majlis sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya diikuti dengan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan isu-isu berkaitan hubungan dan kerjasama dua hala bawah Perkongsian Strategik Malaysia-New Zealand yang dimeterai pada 2023.

Ia merangkumi empat tonggak iaitu Kemakmuran, Rakyat, Planet, serta Keamanan dan Keselamatan.

Luxon juga dijadual akan mengadakan pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof.

Pada 2023, New Zealand merupakan rakan dagangan ke-28 terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-22 dan sumber import terbesar dalam kalangan negara di rantau Oceania.

Jumlah perdagangan antara Malaysia dan New Zealand adalah sebanyak RM11.56 bilion bersamaan AS$2.54 bilion.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE