
PUTRAJAYA, 8 September- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa penjawat awam khususnya warga Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) supaya menghayati prinsip Itqan fil Amal yang menekankan kesungguhan dan kecemerlangan dalam melaksanakan tanggungjawab.
- Menghayati prinsip Itqan fil Amal dengan kesungguhan dan kecemerlangan dalam melaksanakan setiap tanggungjawab.
- Tingkatkan prestasi dan percepat pelaksanaan dasar supaya manfaat dapat dirasai oleh rakyat.
- Sentiasa bersyukur, bekerja lebih baik dan menyantuni masyarakat untuk memperkukuh hubungan dengan rakyat.
- Amalkan budaya kerja cekap, pantas dan berkesan bagi elakkan ketirisan serta sokong kemajuan teknologi dan komoditi.
Beliau berkata prinsip berkenaan perlu diterjemahkan menerusi usaha berterusan meningkatkan prestasi, mempercepat pelaksanaan dasar serta memastikan manfaatnya dapat dirasai rakyat.
“Penjawat awam harus sentiasa bersyukur, selain didorong untuk bekerja dengan jauh lebih baik, dengan mencapai prestasi yang lebih baik. Yang kedua, kita ini harus menyantuni masyarakat dan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kementerian sempena Perhimpunan Bulanan KPK di sini hari ini.
Datuk Seri Anwar berkata pencapaian positif kementerian perlu disusuli tahap pelaksanaan yang lebih pantas dan berkesan bagi memastikan dasar kerajaan dapat diterjemahkan kepada manfaat kepada rakyat.
Beliau turut menekankan kepentingan mendengar suara akar umbi bagi memastikan perancangan kerajaan terus mengambil kira keperluan sebenar masyarakat.
Perdana Menteri berkata pendekatan turun padang dan mendengar sendiri permasalahan rakyat perlu diteruskan bagi memperkukuh hubungan antara perancangan kerajaan dengan keperluan di peringkat akar umbi.
Beliau berkata Malaysia mempunyai keupayaan untuk bergerak lebih jauh dalam pelbagai bidang termasuk teknologi, digital, tenaga dan sektor komoditi.
Katanya, usaha mencapai kemajuan berkenaan memerlukan budaya kerja yang lebih cekap, pantas dan berkesan dalam kalangan penjawat awam.
Datuk Seri Anwar berkata prinsip Itqan fil Amal juga penting dalam memastikan setiap tanggungjawab dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, selain membantu mengelakkan ketirisan serta penyalahgunaan.