
SUNGAI BESI, 19 Januari – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan dilaksanakan secara berfasa dengan sasaran sehingga 100,000 peserta bermula tahun 2027.
- PLKN dilaksanakan semula secara berfasa dengan sasaran sehingga 100,000 peserta bermula 2027.
- Fasa awal melibatkan 4,000 peserta di kem tentera, setiap fasa 45 hari.
- Program perintis di IPT seperti UPSI dan beberapa politeknik melibatkan kira-kira 6,000 peserta tahun ini.
- Matlamat PLKN ialah memupuk patriotisme, disiplin, jati diri dan memperkukuh perpaduan nasional.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata bagi fasa awal, seramai 4,000 peserta akan menjalani latihan di kem-kem tentera, termasuk Kem Wataniah.
“Untuk tahun ini, kita sasarkan 4,000 peserta terbahagi kepada tiga fasa, setiap fasa selama 45 hari. Jumlah peserta dihadkan kerana kem-kem lain masih dalam proses siap.
“Bagi institusi pengajian tinggi, mereka akan melaksanakan program perintis tahun ini, terutamanya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan beberapa politeknik, melibatkan kira-kira 6,000 peserta. Jadi, jumlah keseluruhan tahun ini adalah 10,000 peserta, manakala tahun depan dijangka meningkat kepada lebih kurang 100,000 peserta,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Residensi Satu Anggota, Satu Rumah Sungai Besi di Kuala Lumpur.
PLKN yang dilaksanakan semula bertujuan memupuk semangat patriotisme, disiplin dan jati diri dalam kalangan belia, di samping memperkukuh perpaduan nasional.