Jenazah tiga beranak dikebumi satu liang lahad

Jenazah tiga sekeluarga yang maut dalam kemalangan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Muhammad Al Fateh Taman Mutiara Sungai Kob petang tadi

KULIM, 19 Januari- Tiga sekeluarga termasuk bayi lelaki berusia dua tahun yang maut dalam kemalangan di Jalan Kulim-Mahang, Kedah petang semalam, selamat dikebumikan pada petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiga jenazah sekeluarga dikebumikan bersama di Tanah Perkuburan Islam Masjid Muhammad Al Fateh, disolatkan dengan kehadiran lebih 700 jemaah.
  • Isteri, Nor Hamiza, redha namun pilu kehilangan suami dan dua anak dalam sekelip mata, terkesan oleh mesej terakhir suami.
  • Kemalangan melibatkan Perodua Viva dan Proton S70; Proton dipercayai hilang kawalan dan terbakar, pemandu hanya cedera ringan.

Jenazah Muhammad Syazwan Mohd Surodjidin, 25 dan dua anak lelakinya Muhammad Aqeel Afnan, 4 dan Muhammad Affan Mikhael, 2 dikebumikan dalam satu liang lahad di
Tanah Perkuburan Islam Masjid Muhammad Al Fateh Taman Mutiara Sungai Kob, kira-kira pukul 5.55 petang.

Terdahulu, ketiga-tiga jenazah disembahyangkan di masjid berkenaan dengan kehadiran lebih 700 jemaah.

Sementara itu, Nor Hamiza Halid, 25, redha menerima takdir walaupun kehilangan suami dan dua anak serentak dalam sekelip mata.

Hamiza meluahkan rasa pilu apabila suami yang dinanti untuk mengambilnya pulang bekerja tidak kunjung tiba .

“Kira-kira pukul 4 petang dia (arwah suami) mesej nak perbaiki motor dia. Itu saja. Masa tau eksiden saya ingat tak teruk macam tu…lepas tu ada kawan hantar video ..depa kata
tiga orang meninggal sekali terkejut jugak tengok dalam video kereta hancur masuk parit,” jelas Haniza ketika ditemui RTM di Sungai Kob, Kulim

Nor Hamiza berkata, hasrat suaminya untuk mereka sekeluarga berhari raya di Besut pada tahun ini tidak kesampaian.

Malah mereka sekeluarga merancang memakai baju raya hijau sedondon semasa berkumpul di Terengganu bersama keluarga belah suami pada lebaran nanti.

Jelasnya, allahyarham sangat rapat dengan anak-anak dan selalu membawa mereka keluar berjalan-jalan.

Dalam kemalangan lebih kurang pada 5.15 petang Ahad, Perodua Viva dinaiki tiga beranak itu bertembung dengan Proton S70, dipercayai hilang kawalan di Jalan Sungai Kob, Kulim sebelum memasuki laluan bertentangan

Proton S70 terbabit terbakar namun pemandunya yang berusia 27 tahun hanya cedera ringan.