
KUALA LUMPUR, 1 Mac -Pesakit kanser dibolehkan berpuasa sepanjang Ramadan sekiranya mereka memahami dan menilai tahap kesihatan diri terlebih dahulu.
- Berbincang dengan doktor sebelum berpuasa untuk menilai kesesuaian berdasarkan jenis kanser dan rawatan.
- Jangan berpuasa jika mengalami kesan sampingan seperti muntah, loya atau masalah kesihatan lain.
- Jika berpuasa, jaga pemakanan seimbang, pengambilan air mencukupi, dan ambil ubat mengikut jadual.
Pegawai Perubatan Saringan Kesihatan KPJ Klang Specialist Hospital, Dr Shobana Supramaniam berkata, pesakit disarankan untuk berbincang dengan doktor sebelum membuat keputusan berpuasa, tanpa mengabaikan aspek kesihatan termasuk pengambilan ubat mengikut jadual yang telah disesuaikan.
Menurutnya, tahap kesihatan bagi setiap pesakit adalah berbeza bergantung kepada jenis kanser serta rawatan yang sedang dijalani seperti kemoterapi, radioterapi atau terapi penyakit.
“Selamat untuk berpuasa, tetapi tahap kesihatan perlu dijaga dan rujuk kepada pakar terlebih dahulu. Sekiranya tahap kesihatan terganggu atau mengalami simptom akibat rawatan seperti kimoterapi, contohnya muntah, loya, atau kesan sampingan lain, adalah lebih baik untuk tidak berpuasa.
“Jika ingin berpuasa, pastikan pengambilan makanan seimbang, minum air secukupnya, dan mengambil ubat mengikut jadual. Sekiranya berasa berat atau timbul masalah kesihatan, segera rujuk kepada pakar,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu dalam Rancangan Selamat Pagi Malaysia, di Angkasapuri.
Tambah Dr Shobana, pesakit yang berada dalam keadaan stabil dan tidak mengalami kesan sampingan rawatan boleh mempertimbang untuk berpuasa dengan pemantauan rapi tanpa menjejaskan proses pemulihan.
Selain dinasihatkan mengambil nutrisi mencukupi ketika sahur dan berbuka dan pengambilan air minuman yang mencukupi bagi mengelakkan sebarang risiko.