Permohonan sertai BN perlu ikut garis panduan disediakan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Kongres Indian Muslim Malaysia (KIMMA) kali ke-46 di ibu negara. /Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 AprilPermohonan untuk menyertai Barisan Nasional sebagai parti teras hendaklah mematuhi serta memenuhi ketetapan yang digariskan dalam perlembagaan gabungan tersebut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mana-mana parti perlu melalui proses rasmi: mengemukakan permohonan, dibincang di peringkat kepimpinan tertinggi, serta mendapat persetujuan sebulat suara atau majoriti.
  • Perlembagaan BN belum dipinda; pindaan diperlukan untuk menerima pihak pemohon, namun tiada persetujuan dicapai setakat ini.
  • KIMMA pernah mengemukakan permohonan sebelum ini dan menghadapi bantahan; jika komponen kini tidak menghalang, mereka mesti mengemukakan pendirian rasmi.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mana-mana parti yang ingin diiktiraf sebagai parti teras perlu melalui proses rasmi, termasuk mengemukakan permohonan, dibincangkan di peringkat kepimpinan tertinggi serta memperoleh persetujuan sebulat suara atau majoriti, seperti yang diperuntukkan.

“Sebagaimana yang diketahui, perlembagaan Barisan Nasional masih belum dipinda kerana ia menetapkan bahawa kepimpinan gabungan itu terdiri sepenuhnya daripada pemimpin parti-parti teras.

“Pindaan perlembagaan diperlukan bagi membolehkan mana-mana parti yang memohon menyertai gabungan berkenaan diterima. Namun setakat ini, masih belum ada persetujuan dicapai berhubung cadangan pindaan tersebut, ” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Kongres Indian Muslim Malaysia (KIMMA) Kali Ke-46 bagi Tahun 2025 di sini, hari ini.

Terdahulu, KIMMA pernah mengemukakan permohonan untuk menyertai Barisan Nasional beberapa kali sebelum ini, namun mendapat bantahan daripada parti-parti komponennya.

Beliau turut berkata, sekiranya benar parti komponen berkenaan kini tidak lagi menghalang penyertaan KIMMA, mereka perlu mengemukakan pendirian rasmi berhubung perkara itu.