
PASIR PUTEH, 18 April – Kerajaan MADANI meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM20 juta bagi program pembasmian kemiskinan di negeri Kelantan.
- Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri Kelantan akan menyelaraskan pelaksanaan program pembasmian kemiskinan.
- Perdana Menteri turun ke daerah untuk mendengar isu rakyat termasuk masalah parit.
- Masih ramai rakyat dalam kategori miskin walaupun kemiskinan tegar dikatakan selesai.
- Masjid Gong Chapa fasa 2: pembinaan dewan serbaguna, lanskap; dijangka siap 31 Mei 2027.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan itu akan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Kelantan.
“Sejak tahun lepas, saya turut ke daerah untuk mendengar masalah yang dihadapi daripada ketua jajahan seperti isu parit kerana hal ini menyentuh masalah rakyat, sebab itu kita dengar dan ambil bahagian.
“Walaupun masalah kemiskinan tegar selesai, masalah kemiskinan ini masih ramai termasuk di Kelantan. Jadi saya akan bagi peruntukan khas tambahan di Kelantan untuk projek membantu rakyat bawah kategori miskin sebanyak RM20 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Masjid Mukim Gong Chapa Temila di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassurudin Daud.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Anwar memaklumkan, sebelum ini program pembasmian kemiskinan di Kelantan sudah dilaksanakan, namun, Menteri Besar membuat permohonan tambahan untuk program berkenaan.
Pada majlis itu, beliau berkata Masjid Gong Chapa yang menerima peruntukan berjumlah RM4 juta pada April tahun lepas, kini memasuki Fasa 2 pelaksanaan yang melibatkan pembinaan dewan serbaguna serta kerja-kerja lanskap dan dijangka siap pada 31 Mei 2027.