EAP bangunkan aplikasi percuma galak kesedaran autisme

Acara kemuncak ‘Run for Autism 2026’ berlangsung di Taman Botani Perdana, di ibu negara. Foto RTM

KUALA LUMPUR, 18 April – Early Autism Project (EAP) Malaysia sedang membangunkan aplikasi percuma berkongsi pelbagai maklumat termasuk penjagaan awal dan program kesedaran awam berkaitan autisme.

RINGKASAN BERITA AI
  • EAP sedang membangunkan aplikasi percuma untuk membantu ibu bapa menggunakan panduan intervensi dan sokongan di rumah.
  • EAP muat naik 35 siri 'Autisme di Rumah' di YouTube untuk menggalakkan kesedaran dan panduan penjagaan kepada keluarga.
  • Peningkatan kes autisme menuntut usaha berterusan, termasuk program saringan percuma dan aktiviti komuniti melalui inisiatif EAP.

Kandungan bersiri turut dimuat naik ke platform media sosial Youtube EAP bertajuk ‘Autism at Home‘ sebagai perkongsian buat ibu bapa kanak-kanak autistik, dan seluruh masyarakat.

Pengarah EAP Malaysia, Dr Jochebed Isaacs, berkata usaha tersebut penting terutama dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya berkaitan pengesanan dan intervensi awal autisme dalam kalangan kanak-kanak.

Ushaa tersebut juga dilaksanakan bagi memastikan lebih ramai keluarga mendapat akses kepada sokongan awal yang berkualiti.

“Sebenarnya, melalui EAP, kami berperanan sebagai penyedia perkhidmatan swasta. Namun, kami juga mempunyai satu projek bukan berasaskan keuntungan (non-profit) yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai autisme, khususnya dari segi pengesanan awal dan intervensi awal.

“Selain itu, kami juga sedang berusaha mengumpul dana untuk membangunkan satu aplikasi percuma khas untuk ibu bapa, supaya mereka dapat membantu anak-anak mereka di rumah dengan lebih mudah. Setakat ini, EAP telah menyediakan 35 siri kandungan ‘Autisme di Rumah’ secara percuma di YouTube. Namun. Kami juga mahu membangunkan aplikasi kandungan yang sama, agar lebih memudahkan ibu bapa mengikuti panduan yang disediakan secara lebih tersusun” katanya kepada pemberita pada Karnival ‘Run For Autism 2026‘ EAP di Taman Botani Perdana di sini, hari ini.

Acara kemuncak itu berlangsung sempena sambutan ulang tahun ke-20 EAP Malaysia, yang dilaksanakan selama dua minggu iaitu sejak awal April, membolehkan para peserta menamatkan cabaran larian maya sejauh 20 kilometer.

Pada masa sama, Dr Jochebed, berkata peningkatan kes autisme yang ketara sejak sedekad lalu menuntut usaha berterusan dalam memperkasakan kesedaran pelbagai lapisan masyarakat.

Karnival ‘Run for Autism‘ turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti persembahan komuniti, reruai mesra autisme serta program saringan percuma buat orang ramai.