Kawalan PGA di sempadan Bukit Kayu Hitam terima sokongan penduduk

FOTO RTM

BUKIT KAYU HITAM, 18 April – Langkah kerajaan menempatkan anggota pasukan keselamatan di stesen minyak berhampiran sempadan Malaysia-Thailand di sini, menerima reaksi positif daripada penduduk setempat yang menyifatkannya sebagai tindakan proaktif dalam mengekang aktiviti penyeludupan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemantauan ketat PGA memastikan urusan pembelian bahan api di stesen minyak berjalan lancar.
  • Kehadiran anggota meningkatkan tahap keselamatan dan menimbulkan kegusaran kepada penyeludup.
  • Peniaga menyokong tindakan tegas bagi menghentikan ketirisan diesel kerana perbezaan harga jiran.
  • Pemantauan memastikan bekalan tidak bocor, menjamin keperluan domestik terutama bagi petani.

Tinjauan RTM di beberapa stesen minyak sekitar kawasan tersebut mendapati proses pembelian bahan api berjalan lancar dengan pemantauan ketat oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).

Salah seorang penduduk tempatan, Yee Lee Huat berkata, kehadiran pihak berkuasa bukan sahaja meningkatkan tahap keselamatan, malah menimbulkan kegusaran kepada pihak yang cuba melakukan penyelewengan.

“Langkah ini memang bagus untuk negara. Apabila ada anggota PGA berkawal, golongan penyeludup akan merasa was-was untuk melakukan sebarang penyelewengan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bagi peniaga, Vengatesarao, beliau menyokong penuh ketegasan kerajaan dalam menangani isu ketirisan bahan api, terutama diesel, yang kini menjadi sasaran utama berikutan perbezaan harga yang tinggi dengan negara jiran.

“Kita berterima kasih kepada kerajaan kerana mengawal kecurian diesel. Di Thailand sekarang bekalan diesel sukar didapati dan harga pula tinggi.

“Penempatan polis dan PGA di stesen minyak adalah langkah yang saya sokong 100 peratus bagi menghentikan ketirisan ini,” jelasnya.

Sementara itu, seorang kontraktor, Mohd Nazrin Ibrahim berpendapat bahawa pemantauan itu secara tidak langsung menjamin kebajikan rakyat, khususnya golongan petani di Kedah yang sangat bergantung kepada bekalan bahan api tersebut.

Menurutnya, sebelum ini terdapat laporan mengenai kekurangan bekalan di sesetengah stesen minyak dipercayai akibat aktiviti tidak bertanggungjawab itu.

“Ini dapat memastikan bekalan kita tidak bocor ke luar dan cukup untuk menampung keperluan domestik, terutama buat para petani di negeri ini,” katanya.

Penempatan anggota keselamatan di zon sempadan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan agensi penguatkuasaan bagi memastikan subsidi negara benar-benar dinikmati oleh rakyat Malaysia dan tidak dieksploitasi oleh sindiket penyeludupan.