MCPF Kedah sokong langkah kerajaan bendung ketirisan subsidi

FOTO RTM

BUKIT KAYU HITAM, 18 April– Penempatan anggota pasukan keselamatan di stesen minyak sekitar daerah Kubang Pasu dan Padang Terap berupaya menjadi benteng utama dalam mengekang jenayah ekonomi, khususnya melibatkan penyeludupan bahan api bersubsidi ke negara jiran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sokongan MCPF Kedah terhadap penempatan anggota penguatkuasa di stesen minyak untuk hentikan ketirisan petrol dan diesel.
  • Tindakan proaktif memberi impak besar pada pengurusan subsidi, penguatkuasaan sempadan dan imej agensi keselamatan.
  • Langkah ini mengawal pembaziran subsidi negara dan mengekang penyeludupan minyak subsidi ke luar negara.
  • Inisiatif beri ruang kepada KPDN fokus pantau depoh diesel nelayan, stesen tanpa jenama, jeti haram dan pemindahan minyak kapal ke kapal.

Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kedah, Datuk Dr. Zulkifly Mohamad berkata, kehadiran pihak berkuasa di lokasi strategik itu bukan sahaja menjamin keselamatan pengguna, malah memastikan siri ketirisan petrol dan diesel dapat dihentikan secara drastik.

Menurut beliau, langkah proaktif itu memberi impak besar dalam tiga aspek utama iaitu pengurusan subsidi, penguatkuasaan sempadan dan pemantapan imej agensi keselamatan di mata masyarakat.

“Yang pertamanya kita dapat kawal pembaziran duit subsidi kerajaan daripada masuk ke negara luar. Yang kedua, kita dapat kawal penyeludupan dan jenayah ekonomi di sempadan yang berlaku akibat permintaan tinggi terhadap minyak subsidi negara kita.

“Manakala yang ketiga, ia dapat meyakinkan serta menghilangkan persepsi negatif masyarakat terhadap anggota penguatkuasa,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai langkah tersebut yang dilihat mampu mewujudkan suasana lebih selamat kepada pengguna tempatan selain memastikan bekalan bahan api untuk rakyat Malaysia tidak disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengumumkan penempatan sementara anggota polis di 151 stesen minyak yang dikenal pasti berisiko tinggi di seluruh negara bagi membanteras ketirisan.

Inisiatif tersebut juga bertujuan memberi ruang kepada penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memfokuskan pemantauan di lokasi kritikal lain termasuk depoh diesel nelayan, stesen tanpa jenama, jeti haram serta aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal.