
PASIR PUTEH, 18 April – Kerajaan MADANI meluluskan bantuan segera sebanyak RM500,000 untuk membaik pulih Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Ulum Al-Muhammadiah di Bachok yang terbakar 12 April lalu.
- Perdana Menteri menyatakan simpati; tiga blok bangunan sekolah musnah dan terjejas akibat kebakaran.
- Peruntukan segera dimaklumkan untuk membantu pentadbiran sekolah membaik pulih prasarana terkesan.
- Perdana Menteri mengarahkan pelaksanaan baik pulih dilakukan segera.
- Pengetua memaklumkan 113 pelajar terjejas; asrama hanya boleh menempatkan kira-kira 32 pelajar perempuan tingkatan 4 dan 5 selepas pembersihan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya turut bersimpati atas insiden kebakaran yang menimpa sekolah tersebut mengakibatkan tiga blok bangunan musnah dan terjejas.
Jelas beliau, peruntukan segera itu adalah bagi membantu pihak pentadbiran sekolah untuk membaik pulih prasarana yang terkesan akibat insiden berkenaan.
“Sekolah Menengah Agama (A) Darul Ulum Al-Muhammadiah Kampung Kolam tiga blok bangunan rosak. Ini sekolah anak-anak kita. Saya tanya berapa tidak cukup dan beliau memberitahu hampir setengah juta ringgit. Saya luluskan sekarang setengah juta ringgit dan beliau arahkan untuk laksanakan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Masjid Mukim Gong Chapa Temila di sini hari ini.
Sementara itu, Pengetua SMU (A) Darul Ulum Al-Muhammadiah, Ahmad Norhisham Abdul Halim memaklumkan sumbangan tersebut merupakan satu jumlah yang besar dan memberi
kelegaan kepada pihak sekolah.
“Seramai 113 pelajar telah terjejas dan sekarang ini kita tidak dapat menyediakan kemudahan asrama kecuali setelah pembersihan dilaksanakan dan kita boleh memasuki kembali bangunan asrama yang selamat. Ia boleh menepatkan lebih kurang 32 pelajar perempuan tingkatan 4 dan 5,” ujar beliau.