
KUALA LUMPUR, 18 April – Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan penyerang importnya, Jairo da Silva, mengalami koyakan pada bahagian bibir dan terpaksa menerima beberapa jahitan selepas insiden cemas pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), malam tadi.
- Jairo sudah dibenarkan keluar hospital selepas menerima rawatan.
- Kecederaan berlaku akibat sepakan gunting Ali Majrashi pada minit ke-36; pemain dilihat tidak sedarkan diri dan diusung keluar.
- JDT tewas 1-2 kepada Al-Ahli, tersingkir di suku akhir; Al-Ahli mara ke separuh akhir bertemu Vissel Kobe.
Menerusi kenyataan rasmi, kelab itu bagaimanapun memaklumkan perkembangan positif apabila pemain berusia 34 tahun berkenaan sudah dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan.
Insiden itu berlaku ketika JDT berdepan Al-Ahli Saudi FC di Stadium King Abdullah Sports City, Jeddah, apabila Jairo terkena sepakan gunting dilakukan pertahanan lawan, Ali Majrashi pada minit ke-36.
Situasi berkenaan mencetuskan detik cemas apabila pemain kelahiran Brazil itu dilihat tidak sedarkan diri sebelum diusung keluar pada minit ke-39 dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Dalam masa sama, tular video berdurasi 15 saat memaparkan Jairo bersama doktor yang merawatnya, dikongsikan akaun X Mnbr Al-Ahli, yang menjelaskan keadaan terkininya.
“Sekarang sangat baik (selepas rawatan). Apa yang saya rasa sebelum ini seolah-olah saya tidak mempunyai bahagian ini,” katanya sambil menunjukkan bahagian bibirnya.
Pada perlawanan itu, Jairo terlebih dahulu mencipta impak apabila membantu gol pembukaan JDT pada minit ke-20, namun kecederaan yang dialami menjejaskan perancangan pasukan.
JDT akhirnya tewas 1-2 kepada Al-Ahli, sekali gus menyaksikan skuad kendalian Xisco Muñoz tersingkir di peringkat suku akhir.
Al-Ahli yang juga juara bertahan akan meneruskan kemaraan ke separuh akhir untuk bertemu Vissel Kobe.