Senarai pendek skuad terjun negara ke Sukan Asia 2026 dimuktamad Mei ini

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 April – Senarai pendek atlet skuad terjun negara ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dijangka dimuktamadkan Mei ini, kata Pengarah Teknikal Yeoh Ken Nee.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejohanan Ujian Kebangsaan dan Malaysian Invitational Age Group di Sarawak dijadikan medan penilaian kelayakan.
  • Atlet perlu mencapai skor kelayakan minimum (MQS) dan menunjukkan prestasi konsisten untuk dipertimbangkan.
  • Hanya dua atlet terbaik bagi setiap acara dipilih berdasarkan keupayaan memberi cabaran dan potensi meraih pingat.
  • Kekangan masa dan peluang antarabangsa terhad; kem latihan tiga minggu di China dirancang selepas senarai pendek dimuktamadkan.

Beliau berkata dua kejohanan utama iaitu Kejohanan Ujian Kebangsaan dan Malaysian Invitational Age Group (MIAG) di Sarawak akan dijadikan medan penilaian bagi menentukan senarai berkenaan.

“Kedua-dua kejohanan ini akan digunakan sebagai kelayakan. Atlet perlu mencapai skor kelayakan minimum (MQS) yang ditetapkan untuk dipertimbangkan ke Sukan Asia,” katanya pada Kejohanan Ujian Kebangsaan di Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil di sini hari ini.

Ken Nee berkata setiap acara mempunyai penetapan MQS berbeza dan atlet perlu memenuhi kriteria tersebut selain menunjukkan prestasi konsisten.

Beliau berkata hanya dua atlet terbaik bagi setiap acara akan dipilih berdasarkan keupayaan mereka untuk memberi cabaran dan berpotensi meraih pingat.

“Kita akan kumpulkan semua keputusan, buat penilaian menyeluruh termasuk pascanilai dan mesyuarat jawatankuasa sebelum memilih atlet terbaik bagi setiap acara,” katanya.

Dalam pada itu, Ken Nee yang juga bekas atlet kebangsaan mengakui kekangan masa menjadi cabaran utama memandangkan senarai pendek perlu dihantar lebih awal kepada pihak penganjur.

“Kita memang berkejar dengan masa kerana tarikh penyerahan senarai semakin hampir, jadi keputusan perlu dibuat dengan teliti tetapi cepat,” katanya.

Beliau turut menjelaskan kekangan itu menyebabkan skuad negara tidak mempunyai banyak peluang untuk menyertai kejohanan antarabangsa sebagai platform tambahan penilaian.

Mengulas persiapan seterusnya, beliau berkata kem latihan negara di China selama tiga minggu turut dirancang bagi memperkukuh persediaan atlet ke temasya empat tahun sekali itu, selepas senarai pendek dimuktamadkan.- BERNAMA

Pengarah Teknikal Yeoh Ken Nee / BERNAMA