KBS sedia campur tangan jika trend kelab tarik diri jejaskan kestabilan liga tempatan

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari / RTM

PULAU REDANG, 18 April – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan berpeluk tubuh sekiranya trend penarikan diri daripada saingan liga tempatan merebak kepada lebih banyak kelab, memandangkan fenomena tersebut dibimbangi boleh menjejaskan kestabilan liga serta pembangunan sukan negara secara keseluruhan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian menghormati keputusan kelab sebagai hak organisasi tetapi akan memantau dan berbincang untuk elakkan impak negatif lebih besar.
  • Kementerian terbuka mengadakan sesi libat urus dengan persatuan sukan jika isu mula menjejaskan ekosistem sukan tanah air.
  • Terengganu FC dikaji kemungkinan beraksi dalam Liga A1 Semi-Pro susulan masalah kewangan; keputusan muktamad masih dalam perbincangan.

Menterinya, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, meskipun pihak kementerian menghormati keputusan setiap kelab sebagai langkah strategik pengurusan dan hak organisasi, namun pemantauan rapi tetap dilaksanakan bagi mengelakkan impak negatif yang lebih besar.

“Kita akan sentiasa memantau dan juga membuat sebarang perbincangan untuk kita mencari titik yang terbaik supaya tidak berlaku sebarang konflik besar-besaran di masa yang akan datang.

“Jadi kita perlu melihat perkara itu. Kementerian akan sentiasa mengambil maklum dan juga berbincang kerana ini adalah keputusan kelab itu sendiri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Rakan Bumi: Projek Planet Rakan Muda Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 disini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa kementerian bersikap terbuka untuk mengadakan sesi libat urus bersama persatuan sukan sekiranya isu tersebut mula memberi kesan kepada ekosistem sukan tanah air.

Langkah itu katanya, amat penting bagi memastikan kelangsungan industri sukan kekal terpelihara tanpa mencetuskan sebarang konflik besar yang boleh merugikan banyak pihak, termasuk para pemain dan peminat.

Terdahulu, peminat sukan tanah air dikejutkan dengan laporan Terengganu FC (TFC) yang kemungkinan untuk beraksi dalam Liga A1 Semi-Pro musim depan.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Hishamuddin Abdul Karim berkata pihak pengurusan kelab kini sedang memperhalusi perkara itu yang memerlukan penelitian serta perbincangan mendalam sebelum keputusan muktamad dibuat.

Beliau berkata faktor dalaman khususnya kekangan kewangan menjadi antara isu utama yang terus membelenggu pasukan.