
BINTULU, 21 Jun – Penyerahan kuasa kawal selia Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak, antara pencapaian paling signifikan dalam pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
- Kelulusan Rang Undang-Undang Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pindaan) 2024 dan Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2024 membuka lembaran baharu hubungan Persekutuan-Sarawak.
- Memberi peranan lebih besar kepada Sarawak dalam pengurusan aset strategik negeri, memperkukuh autonomi dan kerjasama Persekutuan-Sarawak.
- Transformasi Pelabuhan Bintulu ke pusat perindustrian, logistik dan tenaga hijau bakal memacu pertumbuhan ekonomi negara dan rantau Asia Pasifik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud dalam kenyataan memaklumkan, langkah itu bukan sahaja mengiktiraf hak dan kedudukan Sarawak sebagai rakan pengasas Malaysia, malah membuktikan pelaksanaan MA63 boleh dilaksanakan dalam semangat kerjasama yang menghasilkan situasi menang-menang kepada Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan MADANI membuktikan komitmen terhadap pelaksanaan MA63 bukan sekadar melalui kenyataan, tetapi menerusi tindakan perundangan.
“Kelulusan Rang Undang-Undang Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2024 Dewan Rakyat pada 15 Julai 2024 membuka lembaran baharu dalam hubungan Persekutuan dan Sarawak dengan memberikan peranan yang lebih besar kepada Sarawak dalam pengurusan aset strategik negeri,” menurut kenyataan itu.
Sarawak memperoleh peranan lebih besar dalam pengurusan aset strategik manakala, Malaysia mendapat manfaat daripada pembangunan sebuah hab logistik, perindustrian dan tenaga hijau bertaraf dunia yang akan memacu pertumbuhan ekonomi negara pada masa hadapan.
Dalam konteks tersebut, transformasi Pelabuhan Bintulu perlu dilihat sebagai langkah strategik yang melangkaui kepentingan sebuah negeri semata-mata.
Pelabuhan Bintulu bukan lagi sekadar hab eksport gas asli cecair terbesar negara, tetapi sedang berkembang sebagai pusat perindustrian, logistik dan tenaga hijau yang bakal memainkan peranan penting dalam landskap ekonomi Malaysia dan rantau Asia Pasifik.