
KUALA LUMPUR, 21 Jun – Pengumuman penurunan harga subsidi diesel oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut positif oleh rakyat yang melihat langkah itu sebagai usaha kerajaan membantu mengurangkan kos operasi dan meningkatkan kesejahteraan hidup.
- Ramai rakyat mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan MADANI atas penurunan harga subsidi diesel.
- Harapan supaya harga barangan mentah diturunkan atau sekurang-kurangnya tidak dinaikkan untuk meringankan beban rakyat.
- Kelegaan rakyat jelas, mereka berharap harga terus dikawal demi kesejahteraan hidup.
Seorang penjawat awam, Muharam Shah yang ditemui RTM, mengucapkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI atas penurunan harga diesel.
“Terima kasih kepada Kerajaan Malaysia kerana harga subsidi diesel telah diturunkan. Saya berharap harga barangan mentah juga dapat diturunkan atau sekurang-kurangnya tidak dinaikkan supaya dapat meringankan beban rakyat,” katanya.
Seorang lagi penjawat awam, Amirul Asyraf Alias, turut menyambut baik pengumuman itu dan menyifatkan ia sebagai berita yang melegakan rakyat.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada Perdana Menteri atas usaha yang dilakukan sehingga membolehkan rakyat menikmati penurunan harga subsidi diesel. Saya berharap harga barangan dapat terus dikawal dan tidak dinaikkan agar rakyat tidak terbeban,” katanya.